Oleh: Nadzri Mohd. Sharif, Mohd Azfar Syukri Yusien
ALOR GAJAH, 1 Ogos 2026 – Program Rewang Dapur Siswa MADANI anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka sekali lagi berlangsung dengan penuh kemeriahan apabila hampir 800 orang pelajar menikmati jamuan makan secara percuma di Kolej Tuah, Kampus Alor Gajah, serta menerima manfaat daripada pelaksanaan Dapur Siswa MADANI cetusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Program yang memasuki penganjuran kali kedua itu menyaksikan semangat gotong-royong yang cukup tinggi apabila pensyarah, staf dan pelajar berganding bahu menyediakan pelbagai juadah secara rewang. Keunikan program ini turut terserlah menerusi sumbangan makanan daripada setiap bahagian di UiTM Cawangan Melaka yang menghasilkan pelbagai pilihan hidangan untuk dinikmati oleh para pelajar dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Nadzri b. Hj. Mohd. Sharif, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM Cawangan Melaka, Program Rewang Dapur Siswa MADANI yang dilaksanakan pada setiap semester bukan sekadar menyediakan makanan percuma kepada mahasiswa, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kampus.
“Program ini bukan hanya tentang menyediakan makanan secara percuma kepada pelajar. Lebih daripada itu, ia menjadi medium untuk menyemai nilai kebersamaan, semangat toleransi, budaya bergotong-royong serta keprihatinan dalam kalangan warga universiti. Pada masa yang sama, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar, khususnya mereka yang berdepan dengan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Dapur Siswa MADANI akan terus dijadikan sebagai program berkala pada setiap semester sebagai manifestasi komitmen UiTM Melaka dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan, ihsan dan kebersamaan.

Program ini turut membuktikan bahawa budaya rewang yang menjadi warisan masyarakat Malaysia masih relevan untuk diterapkan dalam komuniti kampus kerana mampu menyatukan warga universiti tanpa mengira jawatan dan latar belakang. Pensyarah, staf pentadbiran dan mahasiswa berganding bahu menyediakan hidangan dalam suasana penuh harmoni, sekali gus mewujudkan pengalaman bermakna yang sukar dilupakan oleh para pelajar.
Inisiatif Dapur Siswa MADANI terus memperlihatkan komitmen UiTM dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa melalui penyediaan makanan percuma kepada pelajar yang menetap di kampus. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam membantu mahasiswa mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup, di samping memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menikmati kebajikan yang sewajarnya.
Majlis penyampaian dan agihan juadah turut disempurnakan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Nadzri b. Hj. Mohd. Sharif, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Melaka, dan turut dihadiri oleh Barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) Melaka. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua fakulti, bahagian, kolej kediaman, pensyarah, staf serta sukarelawan pelajar yang telah menyumbangkan tenaga, masa dan makanan bagi menjayakan program berimpak tinggi ini.

Kejayaan penganjuran Rewang Dapur Siswa MADANI di UiTM Cawangan Melaka membuktikan bahawa semangat kebersamaan, budaya gotong-royong dan nilai keprihatinan masih utuh dalam kalangan warga universiti. Program ini bukan sahaja mengenyangkan perut mahasiswa, malah mengukuhkan ukhuwah, menyemai nilai kemanusiaan, dan memperlihatkan komitmen UiTM Melaka dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga kaya dengan nilai ihsan, empati dan semangat kekitaan.












