Advertisement

Teater Bawah Pokok “Rahmat Jumaat” Berakhir Dengan Sambutan Hangat Hampir 500 Penonton

Oleh: Muhammad Salehudin Moh Esa

SHAH ALAM, 5 Julai – Pementasan Teater Bawah Pokok: Rahmat Jumaat, hasil karya Saat Omar, telah melabuhkan tirainya dengan jayanya selepas berlangsung selama tiga malam bermula 2 hingga 4 Julai 2026 di Lot Parkir Bangunan Budisiswa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Dipentaskan oleh Kelab Pengurusan Seni Anomalist UiTM dengan sokongan Pusat Kebudayaan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, pementasan ini berjaya mencuri perhatian warga kampus dan masyarakat apabila menghimpunkan hampir 500 penonton sepanjang tiga malam pementasan. Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa karya teater berkonsepkan imersif masih mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa dan pencinta seni.

Pasukan produksi yang menjayakan persembahan teater.

Kejayaan pementasan ini turut didukung oleh seramai 60 orang ahli produksi, yang terdiri daripada mahasiswa UiTM Shah Alam daripada pelbagai fakulti dan bidang pengajian, bukan daripada jurusan seni persembahan. Penglibatan mereka membuktikan bahawa minat, komitmen dan semangat berpasukan mampu menghasilkan sebuah produksi teater yang berkualiti walaupun datang daripada latar belakang akademik yang berbeza.

Mengangkat slogan “Setiap Jumaat Ada Rahmat Yang Menanti – Dengarlah, Hayatilah, Syukurilah”, pementasan ini menampilkan kelainan melalui konsep teater bawah pokok, iaitu persembahan yang berlangsung di ruang terbuka dengan memanfaatkan suasana alam sebagai sebahagian daripada elemen penceritaan. Keunikan ini berjaya memberikan pengalaman yang lebih dekat, intim dan menyentuh emosi penonton.

Sinonim dengan tajuk teater, persembahan di tayangkan di kawasan panorama semula jadi bawah rimbunan pokok.

Sepanjang tiga malam pementasan, penonton bukan sahaja menyaksikan lakonan para pelakon, malah turut merasai pengalaman teater imersif, di mana interaksi antara pelakon, ruang persembahan dan audiens menghapuskan sempadan pentas konvensional. Pendekatan kreatif ini menerima maklum balas yang amat positif daripada para penonton.

Pegawai Kebudayaan Kanan UiTM yang juga Penasihat Kelab Pengurusan Seni Anomalist serta Penasihat Produksi, Muhammad Salehudin Moh Esa, berkata pementasan di ruang terbuka merupakan satu cabaran baharu kepada ahli kelab kerana mereka perlu menyesuaikan aspek lakonan, teknikal dan pengurusan produksi dengan persekitaran sebenar.

“Walaupun ia satu cabaran kepada seluruh pasukan produksi, inilah peluang untuk mahasiswa berkarya di ruang terbuka dengan lebih kreatif. Konsep Teater Bawah Pokok memberi pengalaman yang berbeza kepada penonton dan menjadi satu idea baharu bagi menarik minat generasi muda serta mahasiswa universiti untuk kembali mendekati seni teater. Saya juga amat berbangga kerana seramai 60 orang ahli produksi yang terlibat datang daripada pelbagai fakulti dan bukan daripada jurusan seni, namun mereka berjaya membuktikan bahawa semangat, disiplin dan kerjasama mampu menghasilkan sebuah pementasan yang membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Koordinator Pusat Kebudayaan UiTM, Ts. Hafiz Askiak, menyifatkan kejayaan pementasan ini sebagai bukti bahawa penglibatan aktif dalam persatuan mampu melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berketerampilan.

“Syabas dan tahniah kepada Kelab Pengurusan Seni Anomalist atas kejayaan mementaskan karya ini. Saya berharap lebih ramai mahasiswa memanfaatkan kehidupan kampus dengan aktif berpersatuan kerana pengalaman seperti ini bukan sahaja mengasah bakat, malah membentuk kepimpinan, disiplin dan jati diri. Semoga budaya berkarya dan berorganisasi seperti ini terus berkembang dalam kalangan mahasiswa UiTM,” ujarnya.

Sebahagian penonton tidak berganjak di bawah pokok menyaksikan persembahan.

Kejayaan Teater Bawah Pokok: Rahmat Jumaat bukan sahaja menjadi satu pencapaian membanggakan buat Kelab Pengurusan Seni Anomalist UiTM, malah membuktikan bahawa karya seni persembahan mampu dipersembahkan di luar ruang teater konvensional dengan pendekatan yang segar, kreatif dan dekat dengan masyarakat. Sambutan hampir 500 penonton sepanjang tiga malam pementasan serta penglibatan 60 orang mahasiswa daripada pelbagai fakulti dalam menjayakan produksi ini menjadi bukti bahawa seni mampu menyatukan warga universiti tanpa mengira bidang pengajian, sekali gus memperkukuhkan budaya kesenian dan kepimpinan mahasiswa di UiTM.