oleh Suriati Ismail dan Mohd Raizol Ramli
UPSI, 17 Julai 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMK KHAR) telah berjaya menganjurkan program “KHAR Kongsi Rezeki 2.0” bertempat di kawasan Parkir Kereta Pejabat KHAR. Program berkonsepkan kebajikan ini bertujuan untuk menyemai nilai prihatin, empati, dan kebersamaan dalam kalangan warga kolej melalui pengedaran makanan percuma kepada para penghuni.
Program kali ini berfokus sepenuhnya kepada aktiviti agihan makanan secara terus kepada seramai 400 orang pelajar kolej yang hadir. Proses agihan yang berjalan dengan lancar dan sistematik ini bukan sahaja berjaya menyebarkan nilai kasih sayang, malah menghidupkan budaya saling membantu serta meringankan beban harian para pelajar dalam aspek pemakanan.

Kehadiran para pelajar yang sangat menggalakkan menunjukkan program ini mendapat sambutan yang amat luar biasa daripada warga kolej. Rata-rata pelajar yang menerima sumbangan menzahirkan rasa syukur dan berharap agar pihak MMK KHAR dapat melaksanakan program agihan kebajikan seperti ini dengan lebih kerap pada masa hadapan.
Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Che Anuar, turut menzahirkan rasa bangga beliau terhadap komitmen tinggi yang diberikan oleh para mahasiswa.
“Saya berharap program seperti KHAR Kongsi Rezeki 2.0 ini dapat memupuk nilai murni dan membentuk sahsiah pelajar yang berjiwa besar. Semoga usaha murni ini tidak terhenti di sini sahaja, malah terus menjadi pemacu kepada pembentukan imej KHAR sebagai sebuah komuniti kolej yang prihatin, penyayang, dan sentiasa bersedia membantu satu sama lain,” ulas beliau ketika ditemui media kolej.

Secara keseluruhannya, program agihan rezeki ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif utamanya, malah turut mempererat hubungan silaturahim serta menyuburkan semangat kebersamaan dalam kalangan seluruh warga KHAR.












