Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
KUALA NERUS, 26 Julai 2026: Komitmen dan dedikasi warga Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mendapat pengiktirafan tinggi apabila merangkul pelbagai anugerah pada Majlis Anugerah Tahunan UMT 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, di sini hari ini.
Penganugerahan berkenaan merupakan bentuk penghargaan terhadap penyampaian perkhidmatan berkualiti serta kecemerlangan warga kerja HEPA dalam memajukan universiti dan memperkasa agenda pembangunan mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, pengiktirafan yang diterima itu adalah bukti nyata kecekapan, kerja keras dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh warga kerja HEPA secara berterusan.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar lambang pencapaian peribadi, tetapi pendorong untuk kita terus memberikan perkhidmatan terbaik demi kebajikan dan pembangunan mahasiswa UMT.
“Saya berharap anugerah ini menjadi pemangkin untuk kita terus memperkukuh budaya kerja cemerlang, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta menyemarakkan kecemerlangan HEPA dalam merealisasikan aspirasi universiti,” katanya.

Antara pengiktirafan utama yang dirangkul warga HEPA pada majlis itu merangkumi Anugerah Khas Naib Canselor (AKNC), Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Julangan Bakat (AJB).
Turut disampaikan ialah Hadiah Setia Bakti bagi tempoh 10 dan 20 tahun, Penghargaan Setia Berkhidmat serta Penghargaan Pesara.

Dalam pada itu, Dr Mohd Izani turut menyeru seluruh penerima anugerah dan warga HEPA agar sentiasa mempertahankan nilai integriti dalam melaksanakan tugas seharian.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan berintegriti tinggi demi menaikkan nama UMT di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.












