Oleh: Encik Ahmad Shah bin A Rahim
BATU PAHAT – Program Santuni MADANI Agrikomoditi yang berlangsung di MRSM Batu Pahat berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pekebun kecil, pelajar, belia serta masyarakat setempat dalam usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan, pemain industri agrikomoditi dan komuniti setempat.
Program ini memberi fokus kepada pembangunan sektor agrikomoditi serta usaha meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil melalui pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan kepada golongan sasar.
Johor merupakan antara negeri yang mempunyai komuniti pekebun kecil yang besar dan memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor agrikomoditi negara. Lebih 73,000 pekebun kecil mengusahakan tanaman melibatkan keluasan melebihi 164,000 hektar di seluruh negeri, termasuk hampir 20,000 pekebun kecil di daerah Batu Pahat.

Sepanjang program berlangsung, para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dan reruai agensi kerajaan, demonstrasi teknologi dan mekanisasi sawit, sesi taklimat berkaitan teknologi agrikomoditi, pertandingan mewarna, sukan rakyat serta jualan oleh usahawan tempatan yang mendapat sambutan menggalakkan.
Selain itu, penyampaian Bantuan Rahmah kepada pekebun kecil agrikomoditi yang layak turut diadakan sebagai manifestasi nilai ihsan dan keprihatinan yang menjadi teras Malaysia MADANI dalam membantu golongan yang memerlukan.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama pelajar-pelajar UTHM yang hadir bagi menyokong penganjuran program serta mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat.
Turut hadir memeriahkan program ialah Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, yang turut menyantuni peserta dan meninjau pelbagai aktiviti yang diadakan.

Penganjuran Program Santuni MADANI Agrikomoditi diharapkan dapat terus menjadi platform yang memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, pemain industri dan masyarakat dalam usaha membangunkan sektor agrikomoditi yang lebih mampan, berdaya saing dan inklusif demi kesejahteraan rakyat.













