Advertisement

PPMU UTM kumpul 2.93 tan bahan al-Quran, perkasa pengurusan digital

Oleh : Siti Nor Asyiqin Ramli

JOHOR BAHRU, 8 Okt. – Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Muhibbul Quran Malaysia (MQM), berjaya mengumpulkan sebanyak 2.93 tan atau 2,934.34 kilogram teks al-Quran dan bahan keagamaan usang menerusi Program CSR/2 PPMU 2026: Ceramah Kesedaran Pemurnian (Pelupusan) Teks dan Bahan al-Quran Secara Patuh Syarak serta Mesra Alam dan Program Pengumpulan al-Quran dan Buku Agama Usang atau Rosak bagi Tujuan Pelupusan.

Program anjuran Unit Kelestarian PPMU itu menggabungkan sesi ceramah kesedaran secara dalam talian dengan kempen pengumpulan bahan al-Quran dan keagamaan yang dilaksanakan selama sebulan.

Sesi ceramah yang berlangsung pada 8 Julai 2026 menerusi Webex dan Facebook Live mendapat penyertaan lebih 700 peserta. Menerusi sesi tersebut, peserta didedahkan kepada kaedah pengurusan teks dan bahan al-Quran serta bahan keagamaan yang rosak atau usang secara betul, beretika dan menghormati kesuciannya, selaras dengan tuntutan syarak serta prinsip kelestarian alam sekitar.

Sesi ceramah kesedaran mengenai pengurusan dan pemurnian al-Quran serta bahan keagamaan secara patuh syarak dan mesra alam

Sebagai komponen utama program, fasa pengumpulan bahan al-Quran dan keagamaan dilaksanakan selama sebulan, bermula 1 hingga 30 September 2026 di PPMU, UTM. Kempen berkenaan turut mendapat sambutan daripada warga universiti dan komuniti sekitar Johor Bahru yang diberi peluang menyerahkan al-Quran lama, naskhah yang rosak atau tidak lengkap serta buku dan bahan keagamaan yang usang untuk dikendalikan melalui saluran yang lebih teratur dan sewajarnya.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 2,934.34 kilogram bahan al-Quran dan keagamaan berjaya dikumpulkan. Jumlah berkenaan memperlihatkan sambutan warga universiti dan komuniti terhadap usaha menyediakan saluran pengurusan bahan al-Quran dan keagamaan yang lebih teratur, berhemah serta mematuhi tuntutan syarak.

Sukarelawan mengurus dan mengumpulkan bahan al-Quran serta bahan keagamaan yang rosak atau tidak digunakan lagi di PPMU

Bagi memperluas capaian program, hebahan turut dilaksanakan melalui platform media sosial Facebook Unit Kelestarian PPMU dan TikTok, selain hebahan dalam komuniti. Usaha komunikasi tersebut membantu meningkatkan keterlihatan program serta menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan bahan al-Quran dan keagamaan yang rosak atau usang secara sewajarnya.

Selain aspek pengumpulan, PPMU turut memperkukuh pengurusan program menerusi pengenalan sistem pangkalan data digital bagi merekodkan maklumat penerimaan, berat dan transaksi bahan secara berpusat.

Pendekatan tersebut turut dikongsi bersama pihak MQM sebagai satu usaha meningkatkan kebolehkesanan dan kecekapan pengurusan rekod pemurnian bahan keagamaan di peringkat organisasi.

Secara keseluruhannya, pengumpulan 2,934.34 kilogram bahan al-Quran dan keagamaan serta penyertaan lebih 700 peserta memperlihatkan potensi kerjasama antara institusi pengajian tinggi, organisasi berkaitan dan komuniti dalam menyokong pengurusan bahan keagamaan yang lebih sistematik.

Inisiatif berkenaan diharapkan dapat diteruskan sebagai usaha membudayakan pengurusan bahan al-Quran dan keagamaan yang teratur, patuh syarak serta mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar.

Sumber : UTM NewsHub

Total Views: 11