Advertisement

Perasmian Minggu Revolusi Bakti Santuni Kebajikan Mahasiswa Melalui Inisiatif HEPA Sayang Semua Bersama Alumni

oleh Noorazilah binti Mohamed

MELAKA, 18 Mei 2026 – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Revolusi Bakti mewakili Naib Canselor UTeM menerusi pelaksanaan program kebajikan HEPA Sayang Semua Bersama Alumni.

Program tersebut merupakan antara inisiatif berterusan universiti dalam menyantuni kebajikan mahasiswa serta memastikan kesejahteraan pelajar sentiasa diberi perhatian khusus sepanjang tempoh pengajian mereka di UTeM.

Majlis turut menerima sokongan daripada alumni UTeM, Encik Mohamad Firdaus Mohd Dahari, Pengarah GWS Sdn. Bhd., yang tampil menyumbang bagi membantu mahasiswa yang memerlukan khususnya dalam menyokong keperluan pembelajaran mereka.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak lima buah komputer riba dan 11 sumbangan food bank telah disampaikan kepada pelajar yang dikenal pasti sebagai penerima bantuan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, program seperti ini mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan.

“HEPA sentiasa komited untuk memastikan mahasiswa mendapat sokongan sewajarnya agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih selesa dan sempurna. Bantuan yang disalurkan ini diharap mampu meringankan beban serta menjadi suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus berjaya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada alumni UTeM yang sentiasa bersama universiti dalam menjayakan agenda kebajikan mahasiswa.

“Penglibatan alumni dalam program seperti ini membuktikan hubungan erat antara universiti dan graduan sentiasa kukuh. Sumbangan yang diberikan bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah menjadi inspirasi kepada warga universiti tentang pentingnya budaya memberi dan menyantuni,” ujarnya.

Gambarajah 1: Program HEPA Sayang Semua Bersama Alumni

Program HEPA Sayang Semua Bersama Alumni ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara universiti dan alumni, sekali gus memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan atau keperluan asas pembelajaran.

Semoga inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, kebajikan dan kesejahteraan hidup.