MAJALENGKA, 28 Ogos 2026 – Pembelajaran universiti tidak lagi terhad di dalam bilik kuliah semata-mata apabila pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang menimba pengalaman berharga di peringkat antarabangsa menerusi program International Mobility CAPEU 2026 – Aspire UNMA yang berlangsung di Universitas Majalengka (UNMA), Jawa Barat, Indonesia dari 23 hingga 28 Ogos.
Program mobiliti berasaskan pengalaman selama enam hari ini mempertemukan pelajar UUM dengan rakan-rakan belia dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Tanzania, Iran, India, dan Brunei Darussalam, sekali gus membuka ruang pendedahan budaya dan perspektif global secara terus.
Delegasi pelajar UUM diwakili oleh pelajar Doktor Falsafah (PhD), Mohd Zainuddin Zakaria, serta pelajar Sarjana Muda Pendidikan (SMP), Muhammad Amir Hakimi Mohd Raizol. Penglibatan mereka turut diiringi pensyarah UUM, Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof dan Dr. Muhamad Asyraf Abdul Rahman.

Bagi pelajar UUM, pelbagai aktiviti menarik dan padat yang disediakan memberikan iktibar serta pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah aktiviti luar dan sukan lasak seperti mendaki Bukit Sangapa dan Cikadongdong River Tubing, penerokaan agropelancongan di Situ Ciranca dan Situ Cipanten, lawatan ke Pasar Bumi Pakuwon, serta program khidmat komuniti bersama pelajar Junior High School 3 Rajagaluh, Majalengka.
Mengulas mengenai pengalamannya sepanjang menyertai program ini, Muhammad Amir Hakimi Mohd Raizol meluahkan rasa syukur dan teruja atas peluang emas yang diberikan oleh pihak universiti.
“Program ini benar-benar membuka mata dan fikiran saya sebagai seorang pelajar. Peluang berinteraksi dan bekerjasama dengan peserta dari pelbagai negara seperti Tanzania, Iran, India dan Indonesia mengajar saya nilai kepimpinan, keyakinan diri serta komunikasi silang budaya secara praktikal.
“Pengalaman menjalankan program bersama murid-murid di Junior High School 3 Rajagaluh dan menerokai keindahan serta budaya masyarakat tempatan di Majalengka merupakan detik paling bermakna buat saya. Ia bukan sahaja mengasah kepimpinan saya sebagai bakal pendidik, malah membentuk perspektif yang lebih matang dalam memahami kepelbagaian dunia luar,” kata beliau.
Sementara itu, pensyarah pengiring, Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof berkata, penglibatan pelajar dalam program seumpama ini amat penting dalam membina kemahiran insaniah dan daya tahan graduan.
Menurut beliau, interaksi secara terus bersama warganegara luar memberikan kelebihan kepada pelajar untuk memahami sistem pendidikan serta persekitaran yang pelbagai budaya, sekali gus melahirkan graduan UUM yang berdaya saing di peringkat global.

Penyertaan dalam program ini juga melayakkan para peserta menerima sijil mobiliti antarabangsa, pertukaran budaya, dan khidmat masyarakat. Diharapkan program mobiliti seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan agar lebih ramai pelajar UUM berpeluang meneroka pengalaman pembelajaran global yang serba lengkap ini.
Penulis : Dr. Muhamad Asyraf Abdul Rahman
Gambar: PM. Dr. Mat Rahimi Yusof











