Oleh : Pusat Komunikasi Korporat UMK
JOHOR BHARU 14 Mei 2026 I Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Sumber Asli), Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Faris bin Faizal Haedee berjaya mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan selaku juara Pertandingan Bina Badan NPC Regional Global Classic Malaysia/Singapore 2026 di Johor Baharu, baru- baru ini.
Muhammad Faris telah berjaya merangkul tiga pingat emas bagi kategori Men’s Classic Physique Junior, Men’s Physique Junior sekaligus bergelar sebagai Overall Champion Junior.
Lebih membanggakan, Pertandingan Bina Badan NPC Regional Global Classic Malaysia/Singapore 2026 adalah pentas pertamanya bertanding dalam sukan bina badan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kejayaan memenangi tiga pingat emas di pertandingan ini adalah hasil daripada disiplin, pengorbanan, latihan yang konsisten, serta sokongan daripada pihak universiti, keluarga, jurulatih dan rakan-rakan beliau.

Katanya, beliau telah membuat persiapan rapi dari segi fizikal serta badan yang siap untuk bertanding bersama barisan atlet dari luar dan dalam negara, manakala dari segi mental kena siap menghadapi siapa pun barisan peserta dari luar dan dalam negara.
“Saya amat berbesar hati dapat mewakili nama Malaysia di pentas antarabangsa ini menerusi pertandingan yang menghimpunkan nama-nama besar dalam arena sukan bina badan dari seluruh negara.
“Saya juga sentiasa fokus dalam penjagaan makanan contohnya diet kena solid dan membuat latihan dari segi latihan bebanan dan latihan kardio serta amalan bangun awal pagi bersiap untuk latihan dan sediakan pelan menu harian dan tidur awal untuk lebih recovery,” katanya.
Muhammad Faris adalah anak kelahiran Sungai Petani, Kedah telah minat dalam acara sukan bina badan sejak dari bangku sekolah dan menjadikan atlet dan lagenda bina badan Malaysia, Sazali Samad sebagai idolanya.

Beliau sebelum ini pernah bertanding sukan bina badan peringkat kebangsaan iaitu Mr Kedah 2023,
Mr Pesta Pulau Pinang, Mr perak 2024 dan Mr Pahang 2024.
Muhammad Faris telah berjaya tiga kali menang di peringkat nasional dan pertama kali menjadi juara di peringkat antarabangsa.
Beliau kini sedang membuat persiapan untuk untuk pertandingan terdekat Mr KL pada September dan mempunyai target untuk mewakili Kedah ke pertandingan Mr Malaysia pada Oktober.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dekan Fakulti Sains Bumi (FSB) atas sokongan penyertaannya dalam pertandingan Bina Badan NPC Regional Global Classic Malaysia/Singapore 2026.












