Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
KUALA NERUS, 1 Julai: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melaksanakan Program Pengagihan Kit Alat Tulis Percuma Kit2Go pada Rabu, bermula jam 12.30 tengah hari di Serambi Siswa, Kolej Kediaman serta Kafeteria Abdul Rahman Limbong.
Program berkenaan bertujuan membantu mahasiswa membuat persediaan menghadapi minggu peperiksaan akhir dengan menyediakan kit alat tulis secara percuma. Sebanyak 240 kit telah diagihkan di Limbong, manakala 330 kit lagi di Kolej Kediaman Siswa Abdul Malik (KKSAM), menjadikan keseluruhan sebanyak 570 kit berjaya diserahkan kepada pelajar.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran tinggi sepanjang sesi pengagihan berlangsung. Program berjalan lancar hasil kerjasama MPP serta sokongan semua pihak yang terlibat.
Pengarah Program Kit2Go, Nur Qawiyah binti Mohamad berkata inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban mahasiswa, malah menjadi simbol kebersamaan dalam menghadapi cabaran akademik.
“MPP sentiasa berusaha mendekati mahasiswa dengan menyediakan sokongan praktikal. Kit ini diharap memberi semangat tambahan kepada mereka,” katanya.

Seorang penerima bantuan, Ridwana Rif’iah Rafiq binti Mohd Shaf’ie, mahasiswi UMT, menyatakan rasa syukur atas sumbangan tersebut.
“Kit ini sangat membantu saya dan rakan-rakan untuk membuat persediaan. Ia memberi keyakinan lebih menjelang peperiksaan,” ujarnya.
Peperiksaan akhir UMT dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 21 Julai 2026, dan diharapkan semua mahasiswa dapat menjawab dengan penuh yakin serta mencapai keputusan cemerlang.












