SINTOK, 29 September 2026 – Seramai 76 orang pelajar semester satu dan dua yang terdiri daripada pelbagai jawatankuasa Sub-Unit kokurikulum telah menjayakan Bengkel Unit Aktiviti Pengurusan Projek KLK yang berlangsung di Pusat Kokurikulum, Universiti Utara Malaysia.
Sesi bengkel yang bermula seawal jam 10:00 pagi itu mendapat sambutan amat menggalakkan apabila perkarangan Pusat Kokurikulum dibanjiri para peserta yang teruja untuk mendalami perancangan serta pengurusan kegiatan luar Kuliah.
Timbalan Pengarah (Aktiviti), Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar, dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa pelaksanaan Kegiatan Luar Kuliah (KLK) merupakan platform terbaik untuk para pelajar menguji dan mengaplikasikan kemahiran insaniah (soft skills) yang dipelajari sepanjang sesi pembelajaran kokurikulum.


“KLK berfungsi sebagai wadah untuk pelajar menimba pengalaman praktikal dalam merancang dan melaksanakan program. Pada masa yang sama, program ini membuka ruang serta peluang saksama kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang, minat, mahupun tahap kemahiran untuk terus belajar dan menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan KLK perlu memberi keutamaan kepada elemen kelestarian melalui penerapan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Penekanan ini penting bagi memastikan setiap program yang dianjurkan bukan sahaja memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar, malah melatih pelajar agar lebih bertanggungjawab, beretika, dan cakna terhadap isu-isu global semasa. Justeru itu, bengkel ini bertujuan untuk memperkasa kemahiran pelajar seperti penulisan kertas kerja projek yang berkualiti disamping memastikan seiring dengan visi dan misi Pusat Kokurikulum.


Kesimpulannya, penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan Pusat Kokurikulum UUM dalam melahirkan barisan pemimpin pelajar yang holistik, berdaya saing, dan berjiwa masyarakat. Diharapkan segala input serta pendedahan yang diperoleh dapat dijadikan panduan asas untuk melancarkan pelaksanaan program-program KLK yang berimpak tinggi sepanjang semester ini.
Berita oleh: Muhammad Syahmi Jumbri
Gambar oleh: Pusat Kokurikulum












