Advertisement

Mahasiswa UTM bina kemahiran baharu, jana pendapatan menerusi HEAL

Oleh : Hakimah Ibnuzaman

Bermula dengan hasrat membantu mahasiswa memperoleh sumber pendapatan tambahan serta menyediakan perkhidmatan terapi sukan yang lebih mudah diakses, Pusat Terapi & Rehabilitasi HEAL di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berkembang menjadi sebuah pusat terapi yang turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk membina kemahiran baharu di luar bidang pengajian masing-masing.

Beroperasi di Lot 2, Bangunan Kesatuan Pelajar (SUB), UTM Johor Bahru, HEAL menawarkan perkhidmatan terapi sukan yang dikendalikan oleh mahasiswa terlatih di bawah bimbingan tenaga pakar. Inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang kepada mahasiswa memperoleh kemahiran dan pengalaman baharu serta menjana pendapatan, malah menyokong usaha universiti melahirkan graduan yang mempunyai nilai keusahawanan, kemahiran insaniah dan tanggungjawab sosial.

Penubuhan HEAL tercetus daripada keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi sebahagian mahasiswa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, dalam mengimbangi tuntutan akademik dengan peningkatan kos sara hidup. Keterbatasan peluang pekerjaan sambilan yang fleksibel dan sesuai dengan jadual pengajian turut menyukarkan mahasiswa menjana pendapatan tambahan tanpa menjejaskan tumpuan terhadap pembelajaran.

Pada masa yang sama, keperluan terhadap perkhidmatan terapi sukan dan pemulihan turut wujud dalam kalangan warga kampus, atlet universiti dan masyarakat sekitar yang memerlukan sokongan bagi pemulihan otot, mengurangkan ketegangan fizikal serta membantu proses pemulihan selepas aktiviti sukan atau rutin harian. Keperluan ini dilihat semakin meningkat akibat beban kerja yang semakin tinggi, kurangnya waktu rehat dan tekanan stres yang mendadak.

Menyedari keperluan tersebut, HEAL dibangunkan sebagai sebuah perusahaan sosial yang menggabungkan pembangunan modal insan, keusahawanan dan kesejahteraan komuniti. Inisiatif yang dibimbing oleh Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd. Latip, Pensyarah Kanan Sains Sukan UTM, yang juga penasihat HEAL, keadaan ini memberi peluang kepada mahasiswa mengikuti latihan profesional sebelum mengendalikan perkhidmatan kepada pelanggan mengikut tatacara dan piawaian yang ditetapkan.

Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd. Latip membimbing ahli terapi HEAL (mahasiswa UTM) dalam sesi latihan terapi sukan

Pendekatan berkenaan membolehkan mahasiswa memperoleh kemahiran yang dapat dimanfaatkan selepas bergraduan, di samping meningkatkan keyakinan diri melalui pengalaman berinteraksi dengan pelanggan dalam persekitaran kerja sebenar.

Menurut salah seorang ahli terapi HEAL, Haziq Zikri, yang juga pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Biologi dengan Kepujian, penglibatan dalam perusahaan terapi itu banyak membantu mahasiswa mengurus keperluan kewangan sepanjang tempoh pengajian di universiti.

Beliau berkata, pendapatan daripada perkhidmatan terapi membolehkan mahasiswa menampung sebahagian perbelanjaan harian, selain memperoleh kemahiran tambahan dan pengalaman dalam pengurusan pelanggan, komunikasi dan kerja berpasukan.

Bagi memastikan perusahaan ini terus mampan, HEAL mengamalkan model pembahagian pendapatan bernisbah 60:40.

“Sebanyak 60 peratus daripada hasil perkhidmatan diberikan kepada mahasiswa sebagai ganjaran, manakala baki 40 peratus disalurkan kepada tabung operasi bagi menampung kos pengurusan, penyelenggaraan, pembelian peralatan serta pembangunan latihan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut membantu memastikan operasi HEAL dapat diteruskan secara berterusan, di samping memperluas peluang latihan dan pembangunan kemahiran dalam kalangan mahasiswa.

Haziq Zikri menjalankan sesi terapi sukan kepada pelanggan di Pusat Terapi & Rehabilitasi HEAL

Dalam tempoh kira-kira setahun beroperasi, HEAL berjaya menarik lebih 50 pelanggan setiap bulan, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada komuniti masyarakat sekitar Johor Bahru. Sambutan itu menunjukkan terdapat permintaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan dan membuka ruang kepada HEAL untuk terus berkembang sebagai platform pembangunan mahasiswa serta penyampaian perkhidmatan kepada komuniti.

“Dari segi perkhidmatan, HEAL menggabungkan pengetahuan saintifik, latihan profesional dan pendekatan berasaskan bukti dalam penyampaian terapi sukan bagi menyokong proses pemulihan otot serta kesejahteraan fizikal pelanggan,” tambahnya lagi.

Haziq Zikri berkongsi mengenai operasi HEAL dan sambutan pelanggan terhadap perkhidmatan terapi sukan yang ditawarkan

Menurut Ts. Dr. Hadafi, setiap ahli terapi HEAL perlu menjalani latihan secara terancang yang meliputi anatomi, fisiologi, biomekanik asas, terapi dan rehabilitasi sukan dan prosedur keselamatan sebelum dibenarkan mengendalikan sesi terapi.

Beliau berkata, latihan berkenaan penting bagi memastikan setiap daripada mereka memahami struktur otot, fungsi tisu lembut serta mekanisme kecederaan yang lazim berlaku akibat aktiviti fizikal atau rutin harian.

Selain teknik urutan manual, HEAL turut mengintegrasikan beberapa peralatan terapi seperti massage gun dan peranti elektroterapi, mengikut kesesuaian, sebagai pelengkap kepada rawatan bagi membantu mengurangkan ketegangan otot serta menyokong proses pemulihan.

Bidang terapi dan pemulihan juga kian mendapat perhatian kerana adanya penganjuran pertandingan urutan di peringkat kebangsaan, Asia, Eropah dan dunia. Ia juga merupakan satu plaform pendedahan global kepada pelajar UTM yang terlibat dengan HEAL. Malahan mereka telah pun menyertai pertandingan urutan di peringkat kebangsaan dan berjaya memperolehi emas dalam kategori spa dan kesihatan.

Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd. Latip menerangkan penggunaan peralatan teknologi dalam terapi sukan bagi membantu mengurangkan ketegangan otot pelanggan

Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai, HEAL menawarkan beberapa pilihan rawatan, bermula daripada terapi ringkas seperti urutan kepala dan bahu, urutan separuh badan, urutan seluruh badan sehingga pakej HEAL Signature Massage. HEAL bukan sekadar servis urutan biasa akan tetapi pelajar HEAL telah dilatih untuk menyentuh jiwa semasa menjalankan urutan.

Pakej HEAL Signature Massage merupakan rawatan paling komprehensif dengan tempoh sekitar 90 minit yang menggabungkan teknik terapi manual dan penggunaan peralatan moden bagi membantu meningkatkan relaksasi dan ketenangan fikiran, mengurangkan ketegangan otot  dan melancarkan pengaliran darah serta menyokong proses pemulihan fizikal dan mental.

“HEAL turut menitikberatkan keselesaan dan privasi pelanggan melalui sistem tempahan awal bagi memudahkan penyusunan jadual terapi, selain menyediakan sesi berasingan untuk pelanggan lelaki dan wanita,” ujar Haziq.

Selain menerima pelanggan di pusat terapi, HEAL turut menerima jemputan untuk menyediakan perkhidmatan sempena program larian, kejohanan sukan dan pelbagai acara komuniti seperti kampung, masjid, badan kerajaan yang memerlukan sokongan terapi pemulihan kepada peserta.

Bagi memastikan kesinambungan operasi, HEAL mengamalkan pendekatan mentor-mentee dalam kalangan mahasiswa, dengan pelajar senior membimbing pelajar baharu supaya pengetahuan, pengalaman dan kemahiran dapat dipindahkan secara berterusan.

Menurut Ts. Dr. Hadafi, pendekatan itu membantu memastikan operasi HEAL tidak bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya mempunyai pelapis dalam kalangan mahasiswa yang boleh meneruskan tanggungjawab selepas pelajar senior menamatkan pengajian.

Bagi Haziq pula, pengalaman bersama HEAL turut membuka perspektif baharu terhadap perancangan kerjayanya selepas bergraduasi. Walaupun bercita-cita membina kerjaya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan biologi, beliau berhasrat untuk terus memanfaatkan kemahiran terapi sukan yang diperoleh sebagai nilai tambah dalam kerjayanya.

Haziq Zikri menggunakan peranti ultrabunyi sebagai sebahagian daripada sesi terapi pada bahagian pergelangan tangan pelanggan

Beliau percaya pengalaman itu melengkapkan dirinya bukan sahaja dengan pengetahuan akademik, malah kemahiran profesional, disiplin kerja dan keupayaan berinteraksi dengan masyarakat yang sukar diperoleh hanya melalui pembelajaran di dalam bilik kuliah.

Dalam konteks yang lebih luas, penubuhan HEAL menunjukkan bagaimana perusahaan sosial di institusi pengajian tinggi berpotensi menjadi medium pembangunan mahasiswa secara menyeluruh. Melalui gabungan latihan profesional, keusahawanan dan khidmat kepada komuniti, inisiatif itu membantu membuka peluang kepada mahasiswa menjana pendapatan, memperoleh pengalaman kerja dan memperkukuh kemahiran insaniah, di samping menyokong usaha universiti melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta peka terhadap keperluan masyarakat.

Seiring dengan aspirasi tersebut, HEAL terus dikembangkan sebagai ruang yang menghubungkan ilmu, pengalaman kerja dan tanggungjawab sosial, sekali gus memperlihat potensi perusahaan sosial berasaskan institusi pendidikan dalam memberikan manfaat kepada mahasiswa, universiti, komuniti dan juga ke peringkat global.

Sumber: UTM NewsHub

Total Views: 1