Advertisement

Lebih 15,000 Mahasiswa Nikmati Manfaat DSM, MKS dan Food Bank Siswa UiTM

Oleh: Ikhwana Misnan

Shah Alam, 07 Julai 2026 – Inisiatif kebajikan mahasiswa menerusi Program Dapur Siswa MADANI (DSM), Menu Kasih Siswa (MKS) dan Food Bank Siswa (FBS) UiTM terus diperkasakan dengan pelaksanaan aktiviti gotong-royong memasak dan pengagihan makanan kepada penghuni kolej kediaman dan non resident.

Proses agihan makanan percuma kepada penghuni kolej kediaman

Pelaksanaan DSM, MKS dan FBS merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa melalui penyediaan makanan percuma kepada pelajar yang memerlukan serta makanan pada harga berpatutan.

Antara inisiatif program yang telah dilaksanakan adalah gotong-royong penyediaan makanan oleh staf pengurusan kolej dan jawatankuasa perwakilan kolej yang dilaksanakan di kolej-kolej kediaman dan Non Resident, UiTM Shah Alam. Sebanyak 200 hingga 1000 pek makanan sehari, disediakan dan diagihkan kepada pelajar, memberi manfaat secara langsung kepada para mahasiswa, terutama kini sedang mendepani minggu akhir perkuliahan sebelum memasuki peperiksaan. Antara menu yang disediakan ialah nasi putih, daging dalca, nasi daging, air asam, sambal sardin, telur dadar, ayam kunyit, serawa durian dan juga makanan ‘ready to eat – retort food’.

Petugas dari kalangan jawatankuasa perwakilan kolej menyediakan agihan makanan percuma

Sejajar dengan aspirasi pendigitalan universiti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM turut membangunkan Monitoring Dashboard DSM, MKS dan FBS sebagai platform pemantauan berpusat yang membolehkan status pelaksanaannya dipantau secara masa nyata di setiap lokasi. Dashboard ini merekodkan maklumat seperti jumlah dapur yang berdaftar, kadar kemajuan pelaksanaan, pencapaian indikator utama (KPI), status kelengkapan fasiliti serta kemudahan asas yang disediakan di setiap lokasi. Maklumat ini membantu pihak pengurusan membuat pemantauan yang lebih sistematik, mempercepatkan proses pelaporan serta menyokong proses membuat keputusan secara lebih efektif. Pemantauan secara berterusan ini dapat memastikan setiap lokasi DSM, MKS dan FBS UiTM memenuhi spesifikasi yang ditetapkan agar kemudahan yang selesa, selamat dan kondusif disampaikan kepada mahasiswa.

Mahasiswa mengambil makanan yang tersedia hasil gotong royong beramai-ramai

Menurut Prof. Madya Dr Mohamad Noor Jalil, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, program Dapur Siswa MADANI, Menu Kasih Siswa dan Food Bank Siswa bukan sekadar menyediakan bantuan makanan kepada mahasiswa, malah menjadi manifestasi komitmen UiTM dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa kebajikan mahasiswa merupakan tanggungjawab bersama seluruh warga universiti. Melalui kerjasama erat antara pihak pengurusan, kolej kediaman, Majlis Perwakilan Pelajar, Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan rakan strategik, kita bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar, malah membina budaya prihatin, kebersamaan dan semangat saling membantu dalam komuniti kampus. Dengan lebih 15,000 mahasiswa menerima manfaat di seluruh sistem UiTM, kami komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan program ini agar lebih tersusun, mampan dan memberi impak yang lebih besar kepada kesejahteraan mahasiswa,” katanya.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa melalui penyediaan makanan yang berkualiti, di samping menyemai nilai keprihatinan, kebersamaan dan semangat saling membantu dalam kalangan warga kampus.

Pelbagai juadah masakan disediakan secara percuma kepada mahasiswa di kolej kediaman dan warga non-resident.

Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa agar lebih ramai mahasiswa dapat menikmati manfaat melalui Program DSM, MKS dan FBS UiTM, selaras dengan aspirasi universiti untuk mewujudkan persekitaran kampus yang inklusif, prihatin dan sejahtera.