oleh: Suriati Binti ismail
TANJONG MALIM, 23 Jun – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) mencipta sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai Kolej Bitara 2026 pada Majlis Anugerah Kolej-Kolej Kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (AKK UPSI 2026) yang berlangsung di Panggung Percubaan, UPSI.
Pengiktirafan tertinggi ini berjaya dirangkul hasil kecemerlangan luar biasa KHAR yang mendominasi sebahagian besar kategori dipertandingkan, termasuk memenangi 11 daripada 13 anugerah bagi Kategori Pelajar, serta pengiktirafan khusus dalam Kategori Staf dan Felo.

Kejayaan ini merupakan simbol keberkesanan ekosistem kolej yang dibina atas asas kerjasama, komitmen, dan kepercayaan berterusan antara mahasiswa, pengurusan, serta felo dalam membentuk persekitaran yang kondusif.
Selain menjadi platform pengiktirafan, pencapaian yang direkodkan ini turut berfungsi sebagai kayu ukur penting bagi pihak universiti dalam mengenal pasti calon berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk ke anugerah kebangsaan.

Pengetua KHAR, Dr. Che Anuar Che Abdullah, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai hasil usaha kolektif seluruh warga kolej yang sentiasa komited menjayakan agenda pembangunan mahasiswa. Beliau turut menegaskan bahawa gelaran Kolej Bitara ini bukanlah titik penamat, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab untuk terus mengekalkan budaya kecemerlangan demi melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.












