Advertisement

Hampir Lupakan Impian, Kini Melangkah ke UMT

Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah

BAGAN SERAI, 10 Julai 2026: Nurul Amira Abdul Hamid, 18, hampir melupakan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke universiti selepas berdepan kekangan kewangan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kurau itu menerima tawaran mengikuti Program Pusat Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selama setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim).

Namun, keadaan kewangan keluarga yang serba kekurangan menyebabkan anak bongsu daripada tiga beradik itu bercadang untuk bekerja terlebih dahulu sebelum meneruskan pengajian.

“Saya cuma mampu bayar RM400 untuk yuran pendaftaran. Sebab tu saya cadang nak kerja dulu kumpul duit.”

Nurul Amira berkata, beliau amat gembira apabila menerima tawaran ke UMT kerana program tersebut merupakan pilihan pertamanya. Bagaimanapun, jarak universiti yang jauh serta kos perjalanan yang tinggi menjadi antara cabaran utama.

“Memang seronok bila dapat tawaran ke UMT sebab pengajian itu adalah pilihan pertama saya. Cuma tempatnya terlalu jauh dan tak ada orang yang dapat hantar saya ke sana.

“Kos untuk ke sana juga tinggi. Yuran pengajian untuk program asasi sahaja RM1,449, sedangkan saya baru mampu bayar RM400,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Parit Jawa pada Jumaat.

Terdahulu, Nurul Amira menerima kunjungan delegasi UMT yang diketuai Naib Canselor, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, yang hadir menyampaikan bantuan kewangan bagi membantu meringankan beban yuran pengajiannya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini beliau bekerja di sebuah kedai barangan dengan gaji RM1,300 sebulan bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, bapanya, Abdul Hamid Othman, 58, tidak lagi mampu bekerja kerana masalah kesihatan, manakala ibunya, Asmah Che Ros, 53, merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Saya ada juga mohon politeknik di Alor Setar sebagai ‘backup’. Sebab itu saya cadang nak kerja, kumpul duit, kemudian sambung belajar di sana kerana kosnya lebih rendah dan lebih dekat dengan rumah,” katanya.

Sementara itu, Profesor Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihak universiti telah menyediakan bantuan sara hidup sepanjang tempoh pengajian bagi memastikan Nurul Amira dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran.

Beliau berkata, UMT juga mengambil inisiatif membawa Nurul Amira ke kampus menggunakan kenderaan rasmi universiti bagi melengkapkan urusan pendaftaran dan penempatan di kolej kediaman.

“Pelajar yang berdepan kekangan kewangan tidak perlu menangguhkan hasrat menyambung pengajian. Datang dahulu ke universiti. Soal bantuan kewangan akan kita uruskan melalui pelbagai skim bantuan yang disediakan,” katanya.