Oleh : UTM Alumni Relations | Rohaizan Khairul Anuar
BAYAN LEPAS, 19 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited melahirkan lebih ramai teknousahawan (technopreneurs) melalui penglibatan strategik alumni dalam pembangunan bakat, inovasi dan pengkomersialan teknologi.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata aspirasi tersebut menjadi antara fokus utama UTM Maroon Network, sebuah jaringan strategik yang menghubungkan kepakaran alumni, pengalaman industri dan sumber universiti bagi memperluas sumbangan alumni kepada pembangunan negara.
“Universiti mempunyai kekuatan ilmu pengetahuan, penyelidikan dan inovasi, namun kepakaran akademik sahaja tidak mencukupi tanpa pengalaman sebenar industri.
“Justeru, penglibatan alumni amat penting dalam merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dengan realiti dunia perniagaan, khususnya bagi melahirkan lebih ramai teknousahawan,” katanya ketika berucap pada majlis UTM Vice-Chancellor’s Alumni C-Suites Connect (Penang).
Beliau turut menegaskan bahawa sumbangan alumni UTM bukan sahaja penting kepada pembangunan negara, malah melangkaui sempadan Malaysia dan memberi impak kepada ekonomi global.
Menurut beliau, UTM Maroon Network berteraskan tiga elemen utama, iaitu Mentoring (Pementoran), Relationship (Hubungan Strategik) dan Nurturing (Pembangunan Bakat), bagi menggalakkan penglibatan alumni secara lebih bermakna dan berimpak tinggi.
Menerusi Mentoring, alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing digalakkan membimbing mahasiswa, khususnya dalam membentuk pemikiran keusahawanan, meningkatkan kemahiran serta membangunkan potensi sebagai teknousahawan.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan syarikat pemula niaga (start-ups) memerlukan gabungan pengetahuan akademik dan pengalaman industri bagi memastikan hasil penyelidikan serta inovasi dapat diterjemahkan kepada produk dan perniagaan berdaya saing.
Dengan kewujudan 22 syarikat spin-off UTM, penglibatan alumni sebagai mentor, rakan industri dan usahawan berpotensi memperluas peluang pengkomersialan teknologi serta pembangunan syarikat pemula niaga.
Bagi teras Relationship, beliau menekankan kepentingan membina hubungan strategik bukan sahaja dengan individu alumni, malah ekosistem syarikat dan industri yang diterajui mereka.
Dalam konteks Pulau Pinang sebagai hab industri elektrik, elektronik dan semikonduktor negara, jaringan tersebut berpotensi membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan, inovasi, pembangunan kepakaran dan teknologi reka bentuk cip.
Sementara itu, menerusi Nurturing, alumni berperanan sebagai rakan strategik universiti dalam membangunkan bakat masa hadapan melalui perkongsian pengalaman, pendedahan industri dan peluang kerjaya bagi melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri global.
Majlis yang berlangsung di Amari SPICE Hotel, Bayan Lepas, menghimpunkan alumni UTM dalam kalangan ketua pegawai eksekutif, pengasas syarikat, pemimpin industri dan tokoh profesional daripada sektor awam.
Dirangka sebagai pertemuan eksklusif dalam suasana lebih dekat dan interaktif, majlis tersebut memberi ruang kepada dialog dua hala, perkongsian pandangan serta penerokaan peluang kerjasama secara lebih mendalam antara kepimpinan universiti dengan alumni.
Dalam sesi perkongsian, Kalai Selvan Subramaniam, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Infinecs Systems, menyifatkan graduan kejuruteraan UTM sebagai antara yang terbaik berdasarkan kualiti pendidikan, kemudahan makmal dan fasiliti pembelajaran universiti.
Menurut beliau, keseimbangan antara penguasaan teori dan latihan praktikal (hands-on) memberikan graduan asas pengetahuan serta kemahiran teknikal yang diperlukan untuk menghadapi cabaran sebenar industri.
Sementara itu, Zufar Marwah, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Majlis Ilmu Pulau Pinang, yang merupakan alumni termuda menghadiri majlis tersebut, berkongsi perspektif generasi Z (Gen Z) mengenai perubahan aspirasi dan jangkaan golongan muda terhadap pendidikan serta peluang kerjaya.
Beliau turut menekankan kepentingan universiti memahami kecenderungan generasi baharu dan membuka peluang pembelajaran, pembangunan bakat serta keusahawanan yang selari dengan minat mereka.
Antara alumni lain yang hadir ialah Bryan Wong, Ketua Pegawai Eksekutif JayP Intellectual Sdn. Bhd.; Kah Hoe Koay, Ketua Pegawai Eksekutif DreamCatcher Consulting; H.S. Dineshkumar, Pengasas Gajas Putih Group; Khalid Abdul, Ketua Pegawai Eksekutif KCC Engineering Sdn. Bhd.; Datuk TPr. Zawawi Yusop, Pengarah Eastern & Oriental Berhad; serta Rosli Hassan, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya.
Majlis turut disertai Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat, Pengarah UTMAlumni; Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Abu @ Hussin, Pengarah Pendanaan serta Dato’ Ir. Hj. Mohamad Khairi bin Ambran, Presiden Persatuan Alumni UTM (PAUTM).
Selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, UTM berhasrat menjadikan Maroon Network sebagai platform kolaborasi strategik yang menggabungkan kekuatan akademik universiti dengan pengalaman industri alumni bagi mempercepat pengkomersialan teknologi, membangunkan bakat berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.







Sumber : UTM NewsHub












