Oleh: Muhamad Syafik Rahmat
PENAMPANG, 6 Sept. – Dari sebuah kampung kecil di Penampang, Sabah, seorang anak bongsu daripada 10 beradik bakal melangkah ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan membawa harapan untuk mengubah masa depan diri dan keluarganya.
Fedylia Linius, dari Kampung Kibunut, Penampang akan memulakan pengajian pada kemasukan Oktober 2026 dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dengan Kepujian di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM.
Beliau sebelum ini menamatkan pengajian di peringkat diploma di Politeknik Kuching dan memilih UTM sebagai pilihan pertama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Di sebalik kejayaan itu, tersimpan kisah keluarga yang cukup menyentuh hati. Kedua-dua ibu bapa Fedylia yang kini berusia lebih 60 tahun masih gigih mengusahakan pertanian dan menjual hasil tanaman di tamu setiap dua hari sebagai sumber pendapatan keluarga, demi memastikan anak-anak mereka mendapat peluang membina kehidupan yang lebih baik.
Prihatin terhadap keadaan keluarga berkenaan, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, turun padang menziarahi Fedylia dan keluarganya di kediaman mereka di Kampung Kibunut.
Kunjungan itu turut disusuli penyerahan dokumen serta bantuan daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan UTM sebagai sokongan awal kepada Fedylia sebelum memulakan pengajian di kampus.
Bagi Fedylia, bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu persediaannya untuk melanjutkan pengajian. Beliau menerima bantuan awal berjumlah RM1,500, iaitu RM1,000 daripada YPS dan RM500 daripada UTM. Selain itu, UTM turut akan membantu beliau dalam usaha mendapatkan biasiswa bagi mengurangkan beban kewangan sepanjang tempoh pengajian.

Dalam suasana penuh kekeluargaan itu, kunjungan berkenaan turut menyaksikan satu detik bermakna apabila Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menghubungi Fedylia menerusi panggilan video untuk menyampaikan ucapan tahniah dan kata-kata semangat.
Menerusi panggilan itu, Fedylia dinasihatkan supaya terus cekal, bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan memanfaatkan peluang pendidikan yang diberikan kepadanya.

Bagi Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, kisah Fedylia mencerminkan harapan sebuah keluarga yang mahu melihat kehidupan anak mereka berubah melalui pendidikan.
“UTM mahu memastikan peluang yang diraih Fedylia dan pelajar lain sepertinya tidak terhenti kerana kekangan yang dihadapi. Kita akan terus membantu mereka agar dapat meneruskan pengajian, mencapai cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Shahrizal Sunar berkata, pendekatan turun padang membolehkan UTM memahami keperluan sebenar pelajar dan keluarga mereka, sekali gus membantu memastikan sokongan yang diberikan lebih berkesan dan bermakna.
“Bantuan ini mungkin satu langkah kecil pada hari ini, tetapi kami berharap ia menjadi permulaan kepada perjalanan yang besar buat Fedylia. Kami mahu beliau melangkah ke UTM dengan keyakinan bahawa universiti sentiasa bersama beliau dalam membina masa depan,” ujar beliau.
Pendekatan berkenaan juga mencerminkan usaha UTM memperluas agenda kebajikan mahasiswa bukan sahaja melalui bantuan kewangan, tetapi turut menerusi sokongan yang lebih menyeluruh bagi membantu mahasiswa mendapatkan peluang yang adil untuk berkembang dan mencapai potensi masing-masing.
Bagi Fedylia, perjalanan baharu itu kini semakin hampir bermula. Pada Oktober ini, beliau akan meninggalkan Kampung Kibunut untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Geomatik di UTM, dengan cita-cita membina kerjaya sebagai juruukur.
Namun, langkah itu bukan sekadar perjalanan akademik seorang anak muda. Bersamanya turut dibawa doa seorang ibu, pengorbanan seorang bapa, harapan sebuah keluarga serta sokongan universiti yang menjadi sebahagian daripada permulaan perjalanan baharunya.
Kisah Fedylia memperlihatkan bagaimana peluang pendidikan yang diberikan kepada seorang anak berpotensi membuka ruang kepada perubahan yang lebih besar dalam kehidupan sesebuah keluarga. Dari Kampung Kibunut, beliau kini membawa impian ke UTM, dengan harapan suatu hari nanti dapat kembali membawa kejayaan untuk keluarganya.












