Teks/foto: Kelab Ekonomi USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan USM

PULAU PINANG, 19 Oktober 2026 – Seramai 15 orang ahli Kelab Ekonomi Universiti Sains Malaysia telah menyertai program Economics Intervarsity Carnival (EIC) 2026 selama dua hari bermula 16 Oktober 2026 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak.
Dianjurkan oleh Bachelor of Economics Student Association (BECS), UIAM, program ini dijalankan bagi memperluas pengetahuan serta mengasah kemahiran mahasiswa dalam bidang ekonomi dan inovasi selain membuka ruang kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti akademik dan perkongsian idea bersama peserta daripada universiti lain.
EIC 2026 menghimpunkan mahasiswa daripada lapan institusi pengajian tinggi, iaitu UIAM, UM, USM, UKM, UPM, UUM, UPTM dan UPSI dengan menyediakan ruang untuk pertukaran idea serta perkongsian perspektif dalam kalangan mahasiswa.



Bertemakan “Future-Proofing Malaysia: Youth-Led Solutions for an Ageing Society” pertanding mencabar peserta untuk mengemukakan penyelesaian inovatif dan mampan bagi menangani cabaran sosioekonomi susulan peningkatan populasi warga emas di Malaysia.
Menerusi pertandingan Intervarsity Ideathon Case Study Challenge, pasukan ECONMINDS yang dianggotai oleh Nur Hidayahtul Balqis Muhamad Halili, Saranya A/P Supramaniam dan Darren Liew Kai Rhen, dengan bimbingan Dr. Siti ‘Aisyah Binti Baharudin, pensyarah Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, berjaya terenarai antara lima pasukan terbaik menerusi penghasilan idea inovatif bagi menangani isu sosioekonomi semasa.
Penyertaan dalam EIC 2026 menjadi wadah strategik untuk memperluas pengetahuan mahasiswa dalam bidang ekonomi selain merangsang penghasilan idea inovatif yang relevan dengan keperluan masyarakat bagi mempersiapkan mereka untuk mendepani cabaran ekonomi dan sosial masa hadapan.













