Advertisement

Pusat Kaunseling UUM Perkenal Dua Inovasi Mindcheck Card Sempena Bulan Kaunseling 2026 – MySiswaNow

Berita oleh: Siti Nurdiana Binti Abd Razak
Gambar oleh: Nur Hidayah Binti Abdullah

SINTOK, 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkenalkan dua inovasi baharu, iaitu MindCheck Card: Pause, Reflect, Reset dan MindCheck Card: CBT Edition, sempena Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kaunseling 2026 di Dewan Muadzam Shah, UUM yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan.

Kedua-dua inovasi ini dibangunkan oleh Puan Noorul Adilah Che Hamzah, Pegawai Psikologi Pusat Kaunseling UUM, bersama Cik Siti Nurdiana binti Abdul Razak, pelajar OCJ Sarjana Kaunseling, sebagai usaha memperkenalkan pendekatan kreatif dan interaktif dalam menyokong kesejahteraan psikologi serta memperkaya amalan kaunseling.

MindCheck Card: Pause, Reflect, Reset memberi tumpuan kepada refleksi kendiri melalui tiga tema utama, iaitu Kesedaran Emosi, Daya Tahan dan Penyelesaian, serta Sosial dan Perhubungan. Kad ini menggabungkan soalan refleksi, cadangan tindakan dan fakta ringkas bagi membantu individu memahami diri, mengurus emosi dan membina hubungan yang lebih positif.

Sementara itu, MindCheck Card: CBT Edition direka khusus sebagai alat bantu kaunselor dalam mengendalikan sesi kaunseling berasaskan pendekatan Terapi Tingkah Laku Kognitif (Cognitive Behavioural Therapy, CBT). Mengandungi 30 kad yang merangkumi dimensi Kognitif, Emosi dan Tingkah Laku, kad ini membantu kaunselor meneroka hubungan antara pemikiran, emosi dan tingkah laku klien secara lebih terarah dan interaktif.

Keistimewaan kedua-dua inovasi ini terletak pada fungsinya yang saling melengkapi. Satu menggalakkan refleksi kendiri dalam kehidupan seharian, manakala satu lagi menyokong penerokaan profesional dalam sesi kaunseling.

Pengenalan MindCheck Card mencerminkan komitmen Pusat Kaunseling UUM untuk terus memperkasa inovasi dalam perkhidmatan kaunseling, memperluas kesedaran kendiri dan menyokong kesejahteraan psikologi warga universiti.

MindCheck Card: Pause, Reflect, Reset — Berhenti seketika. Refleksi diri. Mulakan semula.

MindCheck Card: CBT Edition — Think. Feel. Act.

Total Views: 14