Advertisement

Terapi Muzik & Selawat Warnai Bulan Kaunseling Kebangsaan di USM

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

PULAU PINANG 17 Oktober 2026 :- Program USM Berselawat: Terapi Kaunseling Melalui Muzik anjuran Pusat Islam USM dengan kerjasama Unit Kaunseling BHEPA berjaya memperkukuh pendekatan kesejahteraan mental mahasiswa menerusi gabungan penghayatan selawat dan qasidah sebagai medium menyemai ketenangan jiwa serta kekuatan rohani.

Bagi melengkapkan malam kemuncak Ihtifal Semarak Cinta Rasul yang berlangsung selama tiga hari di perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM ini dihadiri lebih 200 orang pelajar dan warga USM.

Program turut diperkaya dengan perkongsian alumni oleh Cikgu Mohd Shukor Saleh, Timbalan Presiden Persatuan Alumni USM, serta tausiah oleh penceramah jemputan, Ustaz Dr. Ashraff Amirul yang dikendalikan oleh Setiausaha Agung MPP USM, Muhammad Nazmiuddin Mohamad Nasir selain diserikan dengan alunan qasidah oleh Kumpulan Qasidah Fattabiouni bersama Ustaz Sharofi dan Gus Husaini.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, yang menyeru mahasiswa agar menjadikan pengisian program sebagai pedoman dalam kehidupan seharian, khususnya dalam membentuk akhlak mulia, menjadikan ilmu sebagai panduan serta memelihara kesejahteraan mental diri dan orang sekeliling.

“Kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui pembentukan peribadi yang unggul, manakala penguasaan ilmu dan kesedaran terhadap kesejahteraan mental harus menjadi asas dalam membuat keputusan serta membina kehidupan yang lebih seimbang.” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari, menegaskan bahawa kecemerlangan mahasiswa tidak seharusnya terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh dengan keimanan, keteguhan akhlak, amalan yang baik serta adab dalam pergaulan bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek dan kerohanian.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen USM dalam memperkasa kesejahteraan mental dan emosi mahasiswa selaras dengan SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, di samping menyemai nilai kerohanian serta membentuk sahsiah mahasiswa yang seimbang dan berdaya tahan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pusat Islam USM merangkap Pengarah Program Ihtifal Semarak Cinta Rasul, Ustaz Iswandi Abdul Mokmin, Ketua Unit Kaunseling BHEPA USM, Puan Raja Salwati Raja Othman, Ketua Pegawai Psikologi BHEPA USM merangkap Ketua Penyelaras Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat BHEPA, Encik Ahmad Anwar Omar, barisan pegawai Pusat Islam dan BHEPA dan Majlis Perwakilan Pelajar.

Total Views: 41