Advertisement

Belia Penggerak Masa Depan: Memperkasa Agenda dan Kepimpinan ASEAN di USM

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 6 Oktober 2026 – Program ASEAN Youth: Conversation, Debate and Quiz anjuran Kementerian Luar Negeri Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA USM menjadi ruang perbincangan dan perkongsian bagi meningkatkan kesedaran serta pemahaman belia mengenai ASEAN, di samping mengasah pemikiran kritis dan memperluas hubungan kerjasama dalam kalangan belia serantau.

Berteraskan tema “Lead Locally, Impact Regionally”, program ini menekankan peranan belia dalam menggerakkan perubahan di peringkat tempatan yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan Komuniti ASEAN.

Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, YB Dato’ Lukanisman Awang Sauni, dalam majlis perasmian menegaskan bahawa golongan belia memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju masa depan Komuniti ASEAN sebagai bakal penggubal dasar, usahawan, pendidik, penyelidik, golongan profesional dan pemimpin masyarakat.

“Inovasi, keterbukaan, keupayaan digital serta hubungan kemasyarakatan yang dimiliki belia berupaya menggerakkan masyarakat, merapatkan jurang, memupuk sikap saling menghormati dan memperkukuh persefahaman antara budaya dalam usaha membina keamanan,” ujar beliau.

Selari dengan itu, Pengarah Gabungan Organisasi Belia, Encik Shabil Syach Pachlefi, berkata bahawa ASEAN turut menyediakan ruang kepada golongan belia untuk terlibat dalam pelaksanaan agenda pembangunan ASEAN, termasuk melalui Indeks Pembangunan Belia ASEAN dan Pelan Kerja Belia ASEAN 2025–2030 bagi memastikan pandangan serta penyertaan belia diberi perhatian dalam agenda serantau.

Mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, pula melihat kepimpinan belia bermula dengan keberanian untuk bertindak, kesediaan memahami pandangan yang berbeza serta keupayaan mengambil langkah yang mampu membawa perubahan.

Total Views: 29