Oleh: Tuan Aminatulnazirah binti Tuan Arif Sahibu Fadilah
KUALA NERUS, 11 September 2026 – Empat pelajar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan kewangan dan keperluan asas menerusi Program Ziarah Bingkas Kasih, sebagai usaha membantu meringankan beban mereka ketika memulakan pengajian di universiti.
Program berkenaan mencerminkan komitmen UMT dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa menerusi pendekatan proaktif dengan mendekati pelajar serta keluarga secara langsung bagi memahami cabaran yang dihadapi dan memastikan bentuk sokongan yang bersesuaian dapat disalurkan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad, berkata bantuan berkenaan merupakan antara usaha universiti memastikan latar belakang ekonomi tidak menjadi penghalang kepada pelajar untuk mengejar cita-cita dalam pendidikan tinggi.
“UMT mahu memastikan pelajar daripada keluarga yang memerlukan tidak berasa keseorangan dalam meneruskan pengajian. Kita mahu mereka memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan mencapai kejayaan yang bukan sahaja mengubah masa depan mereka, malah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pendekatan turun padang dan ziarah secara langsung membolehkan pihak universiti memahami keadaan sebenar yang dihadapi mahasiswa, sekali gus membolehkan bentuk bantuan dan intervensi disesuaikan dengan keperluan mereka.
Program Ziarah Bingkas Kasih turut memperlihatkan bahawa aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa menjadi antara keutamaan UMT dalam memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang adil untuk mengikuti pengajian dalam suasana yang kondusif.
Usaha tersebut diharap dapat memberi sokongan moral dan kewangan kepada pelajar yang terlibat, selain menyuntik semangat untuk mereka meneruskan pengajian dengan lebih yakin serta fokus terhadap pencapaian akademik.
Inisiatif berkenaan juga mencerminkan komitmen UMT untuk membina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, prihatin dan responsif terhadap keperluan mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan ekonomi.












