Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah diadakan dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bertempat di Asrama Tunas Bakti Marang.
Program yang bermula pada jam 9.00 pagi ini melibatkan seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada petugas dan penjaga Orang Kurang Upaya (OKU).
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Encik Ahmad Ziyad bin Mohd Omran @ Mohd Amran, Pegawai Psikologi, Pejabat Pendaftar UniSZA , dengan memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan psikologi dalam kalangan petugas serta penjaga OKU.
Program ini turut dibantu oleh Encik Khairul Ikhwan bin Rozi dan Encik Muhammad Zulfikar bin Samsudin, yang merupakan staf Pejabat Pendaftar UniSZA , selaku fasilitator bagi mengendalikan pelbagai aktiviti team building sepanjang program berlangsung.


Pelbagai aktiviti santai dan interaktif telah dijalankan bagi memberi ruang kepada para peserta untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman serta merehatkan minda daripada rutin harian. Aktiviti team building yang dijalankan turut mengetengahkan elemen komunikasi, kerjasama dan semangat berpasukan.
Penganjuran program ini menjadi satu ruang yang bermanfaat untuk para peserta mendapatkan perkongsian berkaitan pengurusan diri dan kesejahteraan psikologi, di samping mengeratkan hubungan dalam suasana yang santai, ceria dan mesra.












