KPT Prihatin MADANI 2026 anjuran Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) telah berlangsung dengan jayanya pada 12 September 2026 di Kampung Bijuray Mongag, Bau, Sarawak.
Delegasi Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Salwani bt Ismail, Pengarah HoSZA, bersama YBrs. Prof. Dr. Shaik Farid bin Abdull Wahab, Timbalan Pengarah (Klinikal), Dr. Muhamad Hafiq bin Ab Hamid, Pakar Perubatan Kecemasan, seorang Penolong Pegawai Perubatan, dua orang Jururawat serta seorang Penolong Pegawai Tadbir.
Program ini merupakan satu inisiatif yang membawa kepakaran, ilmu dan perkhidmatan kesihatan secara terus kepada komuniti, khususnya masyarakat yang berhadapan dengan kekangan jarak dan akses kepada kemudahan kesihatan.
Program berjaya menghimpunkan 130 petugas kesihatan daripada 10 Hospital Pengajar Universiti Awam seluruh negara serta penglibatan 400 penduduk kampung, menerusi pelbagai aktiviti merangkumi pemeriksaan dan konsultasi kesihatan, serta pendidikan kesihatan.
HoSZA turut menyumbang kepakaran melalui reruai pameran dan demonstrasi Basic Life Support (BLS), yang memberi pendedahan secara langsung kepada komuniti mengenai tindakan awal yang boleh dilakukan dalam situasi kecemasan dan kepentingan bantuan awal sebelum ketibaan pasukan perubatan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap ADUN Pelawan, mewakili YAB Premier Sarawak.
Turut hadir YB Dato Miro anak Simuh, ADUN N.18 Serembu; YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS; Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, Naib Canselor UNIMAS serta Prof. Datoβ Dr. Mohamed Saufi Awang, Pengerusi KHUAM merangkap Pengarah Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC UIAM) , Prof. Dr. Ehfa Bujang Safawi, Pengarah Hospital Pengajar UNIMAS serta Pengarah-Pengarah seluruh Hospital Pengajar Universiti Awam Malaysia.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Prof. Dr. Ehfa Bujang Safawi, Pengarah Hospital Pengajar UNIMAS, dan seluruh warga UNIMAS selaku tuan rumah serta seluruh petugas kesihatan KHUAM atas kejayaan menganjurkan program yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Penglibatan HoSZA dalam KPT Prihatin MADANI 2026 anjuran KHUAM menjadi cerminan semangat kebersamaan dan kesatuan Hospital Pengajar Universiti Awam dalam menggembleng kepakaran, berkongsi ilmu serta memperluas manfaat perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tanpa batasan lokasi.
Ilmu untuk dikongsi, kepakaran untuk dimanfaatkan, masyarakat untuk disantuni.

















