Advertisement

PENYERTAAN DELEGASI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) KE PROGRAM MOBILITI INTERNATIONAL & INCLUSIVE LEARNING FOR DIVERSE EXCELLENCE SIRI III

Mahidol University, Bangkok, Thailand – Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM), yang terdiri daripada 4 orang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang pengiring telah menyertai sebuah program mobiliti inklusiviti anjuran Universiti Malaya (UM). Program ini menghimpunkan sebanyak 20 orang pelajar dan 4 orang pengiring yang merangkumi beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), iaitu delegasi dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Program yang berlangsung pada 22 hingga 26 September 2026 ini menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan inklusiviti serta sokongan terhadap mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU), bukan sahaja dalam kalangan institusi pengajian tinggi tempatan, malah merentasi sempadan melalui kerjasama dan pertukaran pengalaman bersama Mahidol University, Bangkok, Thailand.

Antara pengisian berimpak tinggi yang disertai delegasi ialah sesi perkongsian bersama mahasiswa dan warga Mahidol University berkaitan cabaran pengajian mahasiswa OKU serta kemudahan dan sokongan yang disediakan oleh universiti. Delegasi turut berpeluang mendengar pengalaman daripada alumni dan individu OKU dalam bidang akademik serta kerjaya, termasuk perkongsian bertemakan “Preparing for Future Careers: Opportunities and Challenges for Graduates with Disabilities”.

Selain itu, program turut membuka ruang kepada delegasi untuk melihat dengan lebih dekat gambaran kehidupan mahasiswa OKU dan sistem sokongan yang disediakan oleh Mahidol University di samping menyertai aktiviti pertukaran budaya seperti kelas masakan Thai. Perkongsian dan pengalaman tersebut memberikan gambaran yang lebih luas mengenai pendekatan inklusiviti yang dilaksanakan dalam konteks institusi dan negara yang berbeza.

Delegasi juga berpeluang mengadakan lawatan serta sesi perkongsian di Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, yang memberikan pendedahan kepada peserta mengenai jaringan kerjasama dan peranan kedutaan Malaysia dalam aspek antarabangsa.

Penyertaan ini memberi manfaat kepada delegasi UUM dalam memperluas perspektif, membina jaringan strategik serta mengenal pasti pendekatan dan amalan yang berpotensi disesuaikan di UUM. Perkongsian merentas institusi dan negara ini diharap dapat menyumbang kepada usaha berterusan dalam membentuk persekitaran pendidikan tinggi yang lebih inklusif, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan mahasiswa OKU.

UUM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Malaya atas jemputan menyertai UM INCLUDE SIRI III, serta atas peluang untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan amalan bersama institusi tempatan dan antarabangsa. Semoga inisiatif ini terus berkembang dan menjadi wadah perkongsian ilmu yang lebih luas pada masa akan datang.



Berita oleh Anis Zuhaily Binti Zulkarnain
Gambar oleh Peserta Program International & Inclusive Learning For Diverse Excellence Siri III

Total Views: 9