UUM ONLINE: Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperlihatkan komitmen dan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar melalui satu kunjungan ke Selangor bagi menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Mohamed Ismail Azizul Rahman.
Mohamed Ismail merupakan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam (BPM) dengan Kepujian secara separuh masa di bawah PACE, UUM.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Rozita Abdul Mutalib dalam kunjungan pihak PACE untuk bertemu secara langsung dengan pelajar berkenaan.

Kunjungan ini merupakan salah satu usaha PACE untuk mendekati pelajar serta memastikan aspek kebajikan, kesejahteraan dan keperluan pelajar sentiasa mendapat perhatian, khususnya bagi pelajar OKU yang mengikuti pengajian secara separuh masa.
Pertemuan tersebut turut memberi ruang kepada pihak PACE untuk berinteraksi dan mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai keadaan serta pengalaman pelajar dalam meneruskan pengajian. Pendekatan ini penting bagi memastikan pelajar sentiasa merasakan sokongan dan keprihatinan daripada pihak universiti sepanjang perjalanan akademik mereka.
Penyampaian sumbangan ini bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban pelajar, malah menjadi tanda sokongan moral dan dorongan kepada beliau untuk terus bersemangat dalam menempuh cabaran sepanjang pengajian.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen PACE dalam memperkukuhkan budaya pendidikan yang inklusif, prihatin dan mesra pelajar selaras dengan aspirasi UUM untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta memberi peluang yang saksama kepada setiap pelajar untuk mencapai kejayaan.

Melalui usaha seperti ini, PACE berharap agar sokongan yang diberikan dapat memberi manfaat dan suntikan semangat kepada Mohamed Ismail untuk terus gigih dalam pengajian serta mencapai kejayaan akademik.
PACE juga akan terus berusaha memperkukuhkan inisiatif kebajikan dan sokongan kepada pelajar sebagai sebahagian daripada komitmen dalam memastikan kesejahteraan pelajar sentiasa diberi keutamaan.
Berita oleh: Shafina Jaafar
Gambar oleh: PACE












