Advertisement

UMT Perkasa Mahasiswa Pencipta Kerja Melalui Platform Inkubator Usahawan Siswa

Oleh: Muhammad Hisyamuddin Sazali

KUALA NERUS, 10 Mei 2026 – Usaha memperkukuh dan melonjak ekosistem keusahawanan dalam kalangan mahasiswa terus diberi perhatian apabila Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meluncurkan Inkubator Usahawan Siswa sebagai platform pembangunan bakat, inovasi dan pemerkasaan usahawan siswa universiti.

Program peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh Encik Hirman bin Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bersempena Majlis Anugerah Ikon Siswa (AIS) UMT 2025.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT menerusi Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM) ini dilihat selari dengan aspirasi KPT dalam melahirkan lebih ramai graduan berdaya saing yang bukan sahaja menjadi pencari kerja, malah pencipta peluang pekerjaan.

Inkubator Usahawan Siswa tersebut berfungsi sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan produk usahawan siswa di samping menyediakan bimbingan perniagaan, latihan pitching, pemantauan mentor-alumni-industri serta sokongan pembangunan produk kepada mahasiswa yang berminat membina dan mengembangkan perniagaan mereka.

Setakat ini, inkubator ini menawarkan 40 produk usahawan siswa di mana 10 daripada perniagaan tersebut sudah berdaftar dengan SSM. Produk usahawan siswa yang ditempatkan di inkubator ini adalah hasil daripada aktiviti keusahawanan pelajar merangkumi perniagaan persendirian, perkongsian dan juga melalui aktiviti keusahawanan yang dijalankan di fakulti masing-masing.

Selain dijual secara langsung, produk-produk usahawan siswa ini juga digubah kepada bentuk cenderahati bagi penganjuran program-program. Antara produk yang ditawarkan adalah produk berasaskan makanan seperti sos pencicah, biskut, ikan tilapia salai, ikan hiasan, produk makanan ready to eat (RTE), pop-corn, dan juga pakaian.

Dalam ucapannya, Encik Hirman berkata usaha membudayakan keusahawanan di IPT perlu diperkasa secara berterusan bagi memastikan graduan lebih bersedia menghadapi landskap ekonomi semasa yang semakin mencabar dan kompetitif. Beliau turut menyatakan bahawa inisiatif seperti ini merupakan satu pendekatan yang amat baik dalam menyediakan platform kepada mahasiswa untuk menonjolkan potensi, kreativiti dan prestasi yang membanggakan.

“Mahasiswa kini telah mengorak langkah lebih jauh terutama dalam pembinaan jati diri serta personaliti diri mereka. Mahasiswa perlu berani mencuba dan melihat keusahawanan sebagai satu kerjaya masa hadapan yang mampu memberi impak kepada masyarakat serta ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain berkata mahasiswa hari ini mempunyai potensi besar untuk meneroka bidang ekonomi dan teknologi berasaskan inovasi serta mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.

Menurut statistik tahun 2024, UMT telah membimbing dan melahirkan lebih 23% usahawan siswa sepanjang tempoh pengajian, sekali gus menunjukkan peningkatan minat generasi muda terhadap bidang keusahawanan.

Menurut Pengarah UMT-GEM, Prof. Madya Dr. Nor Fazliyana Mohtar, UMT-GEM akan terus terus komited meligat ekosistem keusahawanan siswa UMT menerusi integrasi bersama fakulti, pusat tanggungjawab lain dalam UMT bersama rakan kolaborasi yang lain.

Peluncuran inkubator tersebut dijangka menjadi pemangkin baharu kepada ekosistem keusahawanan kampus, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik antara universiti, industry, agensi dan alumni dalam memperkasa pembangunan usahawan siswa negara.