Advertisement

Nuraiman Bawa Suara Generasi Muda ke Forum Kependudukan Negeri Pulau Pinang 2026

Oleh : Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino

Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 23 September 2026 :- Aspirasi dan realiti kehidupan generasi muda menjadi tumpuan utama dalam Forum Kependudukan sempena Seminar Kependudukan Negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Dewan Saujana, Penang Golf Resort, Bertam.

Mewakili suara belia negeri, penuntut Universiti Sains Malaysia, Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino, dijemput sebagai salah seorang ahli panel bagi membawa perspektif golongan muda dalam forum bertajuk “Pulau Pinang 2030 dan Seterusnya: Aspirasi Generasi Muda dan Masa Depan Keluarga”.

Duduk sebaris dengan EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YB Daniel Gooi Zi Sen, serta Pegawai Psikologi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Encik Nathir Mehamad, di hadapan kira-kira 300 peserta, perbincangan yang dikendalikan oleh Encik Ahmad Rasyidee Abdul Razak itu dibahagikan kepada tiga pusingan utama, iaitu Realiti: Generasi Muda Pulau Pinang Hari Ini, Aspirasi: Kerjaya, Perkahwinan dan Keluarga, serta Tindakan: Dari Aspirasi kepada Realiti.

Dalam sesi tersebut, Nuraiman mengetengahkan pelbagai kekangan hidup dewasa termasuk transisi daripada alam pendidikan ke alam pekerjaan, peluang kerjaya berpendapatan lumayan, kemampuan memiliki kediaman, serta kestabilan kewangan.

“Anak muda bukan tidak mempunyai aspirasi untuk membina kerjaya, memiliki rumah ataupun berkeluarga, tetapi untuk sampai ke tahap itu, mereka memerlukan ekosistem yang membolehkan aspirasi tersebut menjadi satu realiti.” Ujarnya.

Antara fokus utama forum adalah memastikan Pulau Pinang kekal menjadi destinasi pilihan belia untuk menetap menerusi penyediaan ekosistem mesra belia, perumahan mampu milik, serta penglibatan bermakna suara belia dalam perancangan pembangunan negeri ke arah Wawasan Pulau Pinang 2030 dan seterusnya.

Penganjuran ini menggabungkan perspektif kerajaan negeri, pakar pembangunan keluarga, dan golongan belia bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan sosial masyarakat.

Total Views: 26