Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan
Pauh Putra,28 April – Persidangan Mahasiswa (PERSIMA) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam memperkasa suara mahasiswa apabila menghimpunkan kepimpinan pelajar bagi membincangkan isu strategik serta kebajikan warga kampus.
Persidangan yang melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) serta kelab dan persatuan pelajar ini menjadi wadah rasmi untuk mengangkat cadangan dan usul secara lebih tersusun, profesional dan berimpak.

Mohd. Mustafa merasmikan pembukaan persidangan itu di Dewan Senat, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, Arau, Perlis
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah , mahasiswa kini perlu beralih daripada sekadar menyuarakan pandangan kepada memainkan peranan sebagai rakan strategik universiti dalam merangka penyelesaian yang realistik dan mampan.
Menurut beliau, setiap usul yang diketengahkan dalam PERSIMA mempunyai nilai signifikan sekiranya dibangunkan dengan pendekatan berfakta, berpandukan data serta mengambil kira keperluan sebenar mahasiswa di lapangan.
“Mahasiswa hari ini perlu berani membawa idea yang bukan sahaja kritikal, tetapi juga praktikal dan boleh dilaksanakan. Universiti sentiasa terbuka menerima pandangan, namun keutamaan diberikan kepada cadangan yang jelas, berimpak dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan ekosistem kampus,” katanya.
Beliau berkata bahawa PERSIMA bukan sekadar platform perbincangan, sebaliknya menjadi saluran penting dalam proses membuat keputusan di peringkat universiti, sekali gus memastikan suara mahasiswa terus relevan dan diberi perhatian sewajarnya.
“Peranan mahasiswa tidak terhenti sebagai penyampai isu, tetapi perlu berkembang sebagai pencetus solusi. Inilah nilai sebenar kepimpinan mahasiswa yang ingin kita bentuk agar lebih matang, berwibawa dan berorientasikan penyelesaian.
“Malaysia tidak hanya memerlukan graduan, tetapi juga pemimpin masa depan yang mampu memacu perubahan. Kepimpinan bukan sekadar jawatan, sebaliknya amanah yang menuntut integriti, tanggungjawab dan komitmen berterusan dalam membentuk masa depan negara,” kata beliau.
Tambah beliau, pembangunan kepimpinan mahasiswa perlu dilaksanakan secara berstruktur melalui pendekatan Piramid Kematangan Kepimpinan, bermula daripada peranan asas sebagai suara pelajar, diikuti penglibatan aktif dalam organisasi dan pengurusan program, seterusnya mencapai tahap memberi impak yang boleh diukur.
“Peringkat seterusnya melibatkan keupayaan mempengaruhi sistem dan dasar di peringkat institusi, sebelum berkembang menjadi pemimpin yang mampu menyumbang secara signifikan di peringkat nasional.
“Hasrat ini adalah selari dengan aspirasi yang diharapkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa yang holistik, progresif dan berimpak tinggi bagi melahirkan generasi pemimpin masa hadapan negara,” kata beliau.
Sementara itu, bagi Iman Hosseini Shariati bin Abdul Halim , Timbalan Yang di-Pertua MPP UniMAP sesi 2025/2026 menyifatkan persidangan ini sebagai platform paling berkesan dalam mengangkat suara mahasiswa ke peringkat lebih tinggi.
“PERSIMA membuka ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan secara tersusun dan memastikan setiap cadangan diberi perhatian serius oleh pihak pengurusan universiti,” katanya.
Selain itu, Suwetha S Raman Naidu, Presiden Persatuan Kecemerlangan Mahasiswa UniMAP sesi 2025/2026 pula berpandangan bahawa persidangan ini membentuk budaya kepimpinan mahasiswa yang lebih inklusif dan profesional.
“Ini adalah platform terbaik untuk memastikan suara mahasiswa bukan sahaja didengar, malah menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan yang memberi impak kepada komuniti kampus,” ujarnya.
PERSIMA dilihat terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada pembentukan ekosistem universiti yang lebih responsif, inklusif dan berdaya saing, sejajar dengan usaha melahirkan graduan holistik serta berfikiran strategik.












