Advertisement

AKSI UiTM Cemerlang di Sayembara Pantun Piala Mestika Embun 2026

Oleh: Jamilah Mat Zain

SERI ISKANDAR, 17 Mei – Persatuan Aktivis Puisi (AKSI), Pusat Kebudayaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Universiti Teknologi MARA sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan dalam Pertandingan Sayembara Pantun Piala Mestika Embun 2026 anjuran Universiti Teknologi Petronas yang berlangsung di Seri Iskandar, Perak.

Dalam pertandingan yang menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi itu, delegasi UiTM berjaya membawa pulang beberapa anugerah utama hasil persembahan mantap, kreativiti tinggi serta penguasaan seni pantun yang memukau para juri dan penonton.

Gambar 1: Pasukan UiTM merangkul beberapa anugerah utama

Antara kejayaan yang diraih ialah Team A muncul sebagai Naib Johan manakala Team B berjaya menduduki Tempat Ketiga keseluruhan pertandingan.

Lebih membanggakan, delegasi UiTM turut memenangi anugerah Busana Terbaik Keseluruhan serta Pantun Pembukaan Terbaik Keseluruhan yang menyerlahkan kekuatan pasukan bukan sahaja dari sudut penyampaian pantun, malah penampilan dan penghayatan seni budaya Melayu.

Gambar 2: Persembahan peserta yang menarik perhatian juri

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan yang diraih oleh para pelajar AKSI UiTM dalam pertandingan tersebut.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UiTM bukan sahaja mampu menyerlah dalam bidang akademik, malah turut cemerlang dalam memartabatkan seni budaya dan warisan bangsa. Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus aktif, kreatif dan berani membawa nama UiTM ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan aktif mahasiswa dalam bidang kesenian dan kebudayaan selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang memiliki jati diri, kepimpinan, kreativiti serta semangat cintakan warisan budaya negara.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan bahawa mahasiswa UiTM terus cemerlang dalam memartabatkan seni warisan bangsa serta mampu bersaing secara sihat di pentas kebudayaan dan kesusasteraan peringkat nasional.

Gambar 3: Pertandingan hebat antara pasukan yang bertanding

Pihak Pusat Kebudayaan JHEP turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, jurulatih dan pihak yang terlibat atas komitmen serta usaha berterusan dalam memastikan nama UiTM terus disegani dalam arena seni budaya negara.

Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada mahasiswa lain untuk terus aktif dalam bidang kebudayaan dan kesusasteraan sekali gus memperkukuh usaha memelihara warisan seni bangsa untuk generasi akan datang.emelihara warisan seni bangsa untuk generasi akan datang.