oleh: Nurul Nazirah binti Ruhaizat
TANJONG MALIM, 12 Sept – Impian Lovely Sabana Augustine, pelajar cemerlang STPM dengan PNGK 4.0 yang baru-baru ini tular kerana menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke UPSI kini menjadi kenyataan apabila beliau telah rasmi mendaftar sebagai mahasiswa baharu program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Anak bongsu empat beradik dari Tumpat, Kelantan ini antara ribuan pelajar baharu yang hadir menjayakan Hari Pendaftaran Ijazah Sarjana Muda UPSI bagi sesi 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 September 2026 di Dewan Tuanku Canselor (DTC).

Mengulas mengenai kemasukan pelajar baharu, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI menegaskan bahawa aspek kebajikan sentiasa menjadi keutamaan pihak universiti.
“UPSI amat menitikberatkan soal kebajikan pelajar baharu bagi memastikan tiada sebarang keciciran untuk mereka mendaftar dan memulakan pengajian,” tegas beliau
Fakta & Tarikan Hari Pendaftaran UPSI 2026:
- Kemasukan Pelbagai Latar Belakang: Pendaftaran turut menyaksikan kehadiran Nur Auni Qistina binti Zulkafli, anak Pengarah JPN Perak, bersama ribuan mahasiswa lain dari pelbagai latar belakang.
- Inklusiviti Pendidikan: Seramai 10 mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) turut mendaftar dengan sokongan dan bantuan penuh sukarelawan UPSI bagi memastikan urusan berjalan lancar dan selesa.
- Saluran Bantuan Khas (WEZAS): Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI menyediakan kaunter khas sepanjang pendaftaran bagi menawarkan bantuan kemasukan semester satu, bantuan yuran, sara hidup, perubatan, dan dermasiswa zakat.

Hari Pendaftaran Ijazah Sarjana Muda UPSI 2026 akhirnya bukan sekadar hari mendaftar, tetapi menjadi titik mula kepada ribuan impian yang bakal dicorakkan di bumi Suluh Budiman.












