Advertisement

Townhall Kebajikan Mahasiswa Luar Kampus Jadi Platform Suara dan Aspirasi Mahasiswa UPSI

Oleh: Low Zheng Hong & Mohd Fadhli bin Rosli

TANJONG MALIM, 9 September 2026 – Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 2025/2026 telah menganjurkan program Townhall Kebajikan Mahasiswa Luar Kampus secara dalam talian pada 9 September 2026, jam 9.00 malam.

Program yang dilaksanakan menerusi platform Google Meet serta siaran langsung melalui TikTok dan Instagram rasmi UKLK serta MPP UPSI itu menjadi wadah perbincangan secara langsung antara mahasiswa dengan pihak yang berkaitan, khususnya berhubung isu kediaman dan kebajikan mahasiswa yang menetap di luar kampus.

Antara perkara yang diketengahkan dalam program townhall ini termasuk isu pencarian rumah sewa di luar kampus, perkhidmatan bas kitaran, inisiatif dan kebajikan yang disediakan oleh UKLK, serta beberapa perkara lain yang berkait rapat dengan keperluan mahasiswa luar kampus. Program Townhall ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengemukakan pandangan, persoalan dan cadangan bagi membantu menambah baik penyampaian kebajikan serta kemudahan yang disediakan oleh universiti.

Salah seorang panel program Townhall Kebajikan Mahasiswa Luar Kampus, Mohammad Luqman Nurhakim Zulikhsyam, Yang Di-Pertua MPP UPSI Sidang 2025/2026 (kiri), dan moderator program Townhall, saudara Syahmirul Haikal bin Zairul Azmi, Exco Kebajikan dan Perumahan MPP UPSI Sidamg 2025/2026 (tengah)

Sambutan terhadap penganjuran program townhall ini turut memperlihatkan penglibatan mahasiswa melalui pelbagai platform. Seramai 85 peserta telah menyertai sesi melalui Google Meet, manakala siaran langsung TikTok @mediauklk merekodkan 206 tontonan dan Instagram @mediauklk pula mencatatkan 46 tontonan.

Selain itu, pihak UKLK turut mendapatkan maklum balas mahasiswa berkaitan keperluan kediaman luar kampus melalui Google Form “Tinjauan Pelajar yang Memerlukan Rumah Sewa – Kediaman Luar Kampus”, yang menerima sebanyak 46 responden. Tinjauan tersebut dijalankan bagi mengenalpasti keperluan pelajar terhadap rumah sewa di sekitar Muallim dan kawasan berhampiran.

Sebagai persediaan kepada sesi perbincangan, satu lagi borang iaitu “Peti Soalan & Isu Townhall Kebajikan Pelajar Luar Kampus” turut disediakan bagi memudahkan mahasiswa mengemukakan soalan, maklum balas dan isu berkaitan kebajikan mereka. Inisiatif ini sekaligus membolehkan suara mahasiswa luar kampus dikumpulkan dengan lebih tersusun untuk dibincangkan dalam sesi townhall.

Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob sewaktu merumuskan sesi ini dengan ucapan yang menekankan kepentingan program Townhall ini

Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob sewaktu merumuskan sesi ini dengan ucapan yang menekankan kepentingan program Townhall ini dijadikan sebagai platform mahasiswa tinggal di luar kampus dengan pengurusan universiti, dan kepentingan kerjasama antara MPP UPSI dengan UKLK untuk mengetengahkan suara mahasiswa tentang isu-isu kebajikan dan kemudahan yang diperlukan oleh mahasiswa. Beliau berharap melalui program Townhall ini, para mahasiswa dapat lebih mengetahui tentang pengurusan UKLK dan pelbagai inisiatif yang disediakan oleh UKLK dan juga pihak universiti.

Penganjuran program Townhall Kebajikan Mahasiswa Luar Kampus memperlihatkan usaha berterusan UKLK dan MPP UPSI dalam menyediakan ruang komunikasi dua hala bersama mahasiswa. Melalui platform sebegini, pelbagai isu yang dihadapi mahasiswa luar kampus dapat diketengahkan secara lebih terbuka, di samping membolehkan pandangan serta cadangan mahasiswa diambil kira dalam usaha memperkukuh aspek kebajikan dan kesejahteraan warga UPSI.