oleh : Ihsan Noorzali
TANJUNG MALIM: Atlet kayak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syahida Asyiqin Rusli,22, melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Ke-7, 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya dari 28 Ogos hingga semalam.
Naib Canselor, Prof Datuk Md Amin Taff melahirkan kegembiraannya atas pencapaian dan pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Syahida Asyiqin.
” UPSI hari ini semakin disegani pelbagai pihak kerana melakar banyak kejayaan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa termasuklah dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata kejayaan Syahida Asyiqin di pentas SUKIPT 2026 sekali gus menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat UPSI dalam usaha memperkasakan pembangunan atlet mahasiswa dan melahirkan generasi yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan serta kecemerlangan sukan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Ketua Kontinjen,
Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata penuntut semester tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan) itu turut menghadiahkan pingat emas kepada UPSI dalam acara TK1 200 meter (m) wanita, selain mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara tersebut.

Pada pusingan kelayakan yang berlangsung Selasa lalu, Syahida Asyiqin mencatat masa 56.30 saat (s), sekali gus memadam rekod terdahulu 57.29s.
Catatan tersebut turut disahkan oleh Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) sebagai rekod kebangsaan baharu bagi acara TK1 200m wanita.
Kejayaan berkenaan, katanya, membuktikan keupayaan mahasiswa UPSI untuk menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut cemerlang dalam arena sukan di peringkat kebangsaan.
Syahida Asyiqin bersyukur kerana mengekalkan prestasi cemerlang pada perlumbaan akhir apabila mencatat masa 58.50s untuk meraih pingat emas, mengatasi cabaran pendayung dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya (UM).

“Kejayaan ini sangat bermakna kerana pada asalnya saya memberi tumpuan kepada acara K1 200m, namun terpaksa menukar fokus kepada TK1 200m selepas acara berkenaan digugurkan pada saat akhir.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira. Saya datang ke SUKIPT dengan sasaran untuk melakukan yang terbaik dan memang tidak menyangka dapat menutup kejohanan ini dengan kemenangan, rekod kebangsaan baharu serta dinobatkan sebagai Olahragawati SUKIPT.
“Saya anggap pengiktirafan ini sebagai hadiah untuk UPSI dan satu penghargaan terhadap segala usaha, pengorbanan dan latihan yang telah saya lakukan,” katanya.
Menurut Syahida Asyiqin, persiapan menghadapi SUKIPT 2026 dilakukan secara intensif menerusi latihan dua sesi sehari, khususnya bagi memburu rekod K1 200m yang diciptanya pada SUKIPT 2024.
Bagaimanapun, perubahan acara pada saat akhir memaksanya melakukan penyesuaian dalam tempoh singkat bagi memastikan dirinya kekal kompetitif dalam acara TK1 200m.
“Sebelum ini, saya berlatih keras dua sesi sehari untuk memperbaharui rekod K1 yang saya cipta pada SUKIPT 2024. Apabila dimaklumkan acara itu digugurkan pada saat akhir, saya terpaksa beralih kepada TK1.
“Proses penyesuaian itu memang mencabar, tetapi saya kekal fokus, percaya kepada latihan yang dilakukan dan cuba memberikan yang terbaik. Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil,” katanya.
Pencapaian tersebut turut menyaksikan Syahida Asyiqin mencipta rekod dalam dua penampilan berturut-turut di SUKIPT, selepas memperbaharui rekod kejohanan acara K1 200m pada edisi 2024.
Sebagai atlet kelahiran Terengganu, Syahida Asyiqin berharap kejayaan yang dilakar di SUKIPT 2026 menjadi pemangkin untuk dirinya terus meningkatkan prestasi serta mengembangkan potensi dalam sukan kayak.
“Selepas menutup tirai SUKIPT dengan pencapaian emas, rekod kebangsaan dan gelaran Olahragawati, saya kini mengalihkan tumpuan kepada kem latihan intensif sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan domestik yang dijadualkan berlangsung pada Oktober dan November depan, ” katanya.












