oleh: Nurfatin Syazwani binti Halimi
TANJONG MALIM, 6 Sep — Barisan kepimpinan baharu Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Kolej Awang Had Salleh (KAHS) Sesi 2026/2027 kini bersiap sedia memacu pengurusan organisasi kolej kediaman secara berimpak tinggi. Langkah ini direalisasikan menerusi penganjuran Bengkel Pemerkasaan Organisasi, Hala Tuju dan KPI yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 September di Dewan Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bengkel berskala tinggi ini direka khas bagi memantapkan kecekapan tadbir urus, mengukuhkan semangat kekeluargaan, serta memperkemas perancangan takwim kolej.
Pengukuhan Ukhuwah dan Penyelarasan Pentadbiran
Tirai program dibuka pada Jumaat menerusi aktiviti riadah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang menekankan adab serta etika mahasiswa bagi merapatkan silaturahim. Sesi disusuli Mesyuarat Penyelarasan MMK 2026/2027 bersama pentadbiran kolej dan barisan felo, yang turut diisi dengan amanat daripada Pengetua KAHS, Dr. Mardiana binti Ismail. Agenda utama merangkumi peninjauan takwim tahunan, penstrukturan kertas kerja, dan penyelesaian isu-isu berbangkit demi memastikan hala tuju kolej sentiasa berada di landasan yang betul.

Modul Praktikal, Kebajikan, dan Etika Kepimpinan
Hari kedua memulakan pengisian dengan solat Subuh berjemaah dan Kuliah Subuh bertajuk “Langkah Menjadi Pemimpin Yang Baik” oleh Ketua Felo KAHS, Encik Muhammad Iman Iskandar. Kelainan ditampilkan menerusi aktiviti ‘merewang’—memasak bergotong-royong di Dapur Siswa Madani KAHS bersama pihak pentadbiran dan felo bagi menyediakan hidangan seharian.

Pengisian bengkel diteruskan lagi dengan pelbagai modul pengurusan kritikal, antaranya modul Pengurusan Kewangan dan Tajaan yang mendedahkan para peserta kepada teknik penyediaan kertas kerja, penyusunan bajet yang betul, serta strategi pengurusan perbelanjaan dan tajaan secara sistematik.
Bagi memelihara kebajikan penghuni kolej, modul “Suara Pelajar 15 Minit” dikendalikan oleh Felo Blok F, Encik Muhammad Fakhrullah, mengaplikasikan konsep “satu masalah, satu cadangan ringkas” sebagai platform proaktif mengumpul input dan mencari penyelesaian isu kemudahan setempat.

Selain itu, aspek kepimpinan profesional turut diperkasakan menerusi slot “Fellow Leader: Sembang, Kongsi & Inspirasi” bersama Felo Blok D, Dr. Raja Ahmad Shalaby, yang memfokuskan pendedahan terhadap etika meja makan (dining etiquette), penyusunan tetamu VVIP, serta protokol majlis rasmi.
Pengurusan Masa dan Refleksi Penutup
Pada hari terakhir, Felo Blok C, Encik Muhammad Luqman Hakim mengendalikan modul “Time Smart: Lead Your Time” bagi membimbing ahli MMK mengimbangi keutamaan antara kecemerlangan akademik dan tanggungjawab kepimpinan. Bengkel diakhiri dengan sesi refleksi bersama yang mencatatkan maklum balas penanda aras yang sangat cemerlang.

Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen padu MMK KAHS dalam memperkukuh tadbir urus organisasi serta menyuntik iltizam baharu untuk berkhidmat demi kesejahteraan seluruh penghuni Kolej Awang Had Salleh.












