PUTRAJAYA – Kekecewaan akibat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mencapai sasaran tidak pernah memadamkan impian Nurul Amira Wira untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.
Gadis kelahiran Papar, Sabah itu memilih untuk bangkit dan menjadikan kegagalan sebagai titik tolak untuk membuktikan bahawa jalan menuju kejayaan tidak semestinya bermula dengan langkah yang sempurna.
Hari ini, segala jerih payahnya berbaloi apabila beliau menerima penajaan penuh yuran pengajian dan penginapan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Putrajaya.

Momen bermakna itu turut disaksikan oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed serta naib-naib canselor universiti awam yang lain.
Bagi Nurul Amira, penajaan penuh ini bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya menjadi simbol bahawa setiap pengorbanan, air mata dan usaha yang dicurahkan akhirnya menemukan sinar.
Pendorong utama kejayaannya ialah kedua-dua ibu bapanya, Wira Maulaha, 56, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, dan ibunya, Kamsiah Jual, 55, seorang jururawat.
Laluan Tingkatan Enam hadir sebagai perjalanan yang tidak pernah dirancang selepas beliau tidak memperoleh keputusan Straight A’s dalam SPM. Ketika rakan-rakan lain melangkah ke matrikulasi, beliau membina keyakinan diri di Tingkatan Enam sehingga diamanahkan sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan 6 (MAPTEN).

Cabaran kewangan turut menguji apabila wang simpanannya sebanyak RM300 habis digunakan untuk membeli buku rujukan pada Semester 1. Namun, keterbatasan itu dijadikan pemangkin semangat untuk terus berusaha hingga berjaya mencatat keputusan GPA 4.00 pada setiap semester.
“Alhamdulillah, usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila saya berjaya memperoleh keputusan GPA 4.00 setiap semester. Pencapaian ini merupakan hadiah terbaik bagi menghargai segala pengorbanan kedua-dua ibu bapa saya,” tutur Nurul Amira penuh rasa syukur.
Anak jati Sabah itu berkongsi ‘Formula 4 Flat’ miliknya yang merangkumi tiga prinsip utama: memberi fokus penuh ketika guru mengajar, menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus markah bagi setiap latihan, dan mengamalkan pembelajaran berkumpulan secara bersoal jawab.
Berbekalkan cita-cita murni untuk menjadi seorang guru, Nurul Amira meletakkan UUM sebagai pilihan utama UPU sebelum diterima mengikuti pengajian Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Pengurusan Perniagaan) di UUM selepas lulus sesi temu duga.
Merentasi Laut China Selatan dari Papar ke Sintok, Kedah, rasa gementar kerana bakal berjauhan daripada keluarga kini bertukar menjadi semangat untuk melakar masa depan.
“Kehadiran saya di bumi Kedah adalah untuk menimba ilmu serta mengasah bakat agar dapat bergelar guru yang berkualiti satu hari nanti. Bantuan penajaan yuran pengajian yang diterima pula menjadi pemangkin untuk saya menggunakan peluang ini sebaiknya demi membanggakan keluarga,” kata Nurul Amira dengan tekad.

Kisah Nurul Amira menjadi bukti bahawa keputusan SPM bukanlah noktah kepada sebuah perjalanan, sebaliknya keberanian untuk bangkit selepas kecewa itulah yang mampu mengubah arah masa depan.
Oleh: Kori Ariff
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari












