Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu
Paya Besar, 6 September – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengukuhkan kedudukannya sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa apabila menjadi lokasi penganjuran Asian University Table Tennis Championship 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti, UMPSA Kampus Paya Besar.
Majlis pembukaan kejohanan berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, yang turut menyampaikan ucapan perasmian sebelum membuat deklarasi pembukaan kejohanan.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, bersama barisan pengurusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMPSA bagi menyokong kelancaran penganjuran kejohanan tersebut.

Kejohanan yang berlangsung dari 5 hingga 11 September 2026 ini menghimpunkan atlet serta delegasi universiti dari pelbagai negara Asia dan antarabangsa, sekali gus menjadikan UMPSA sebagai medan pertemuan komuniti sukan universiti di peringkat global.
Majlis pembukaan turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Agung ASEAN University Sports Council (AUSC), Chiang Chai Liang, serta Bendahari Asian University Sports Federation (AUSF), Profesor Ha Woong Yong.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja mengetengahkan bakat dan keupayaan atlet universiti dalam sukan tenis meja, malah menyediakan platform kepada para peserta dan delegasi untuk menjalinkan hubungan, bertukar pengalaman serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi.

Kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) bersama barisan pengurusan JHEPA dalam majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam menyokong penganjuran acara sukan berprestij, khususnya dalam memastikan aspek pengurusan, kebajikan serta keperluan peserta dan delegasi dapat diselaraskan dengan baik.
Penglibatan JHEPA turut memperlihatkan kesungguhan universiti dalam memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik melalui penglibatan aktif dalam bidang sukan, selaras dengan usaha UMPSA melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan, sahsiah dan kecergasan fizikal.
Sebagai tuan rumah, UMPSA terus memainkan peranan penting dalam menjayakan Asian University Table Tennis Championship 2026, sekali gus memperlihatkan keupayaan universiti dalam mengendalikan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa serta memperkukuh imej UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing dan berimpak di peringkat global.













