Advertisement

Ziarah Kasih UniMAP Santuni Mohamad Fauzan, Kekangan Kesihatan dan Kewangan Tidak Patahkan Semangat Menuntut Ilmu

Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah

SERIAB, PERLIS, 2 September 2026 – Kekangan kewangan dan cabaran kesihatan yang dihadapi keluarga tidak mematahkan semangat Mohamad Fauzan Mohamad Bazri, 25, untuk meneruskan pengajian apabila beliau bakal melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi Industri).

Menerusi Program Ziarah Kasih Bakal Pelajar UniMAP, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, berkesempatan menziarahi keluarga Fauzan di Seriab, Perlis pada lewat petang, semalam, selain menyerahkan Surat Tawaran Pengajian UniMAP kepada beliau.

Fauzan merupakan anak kedua daripada empat beradik dan berasal daripada keluarga yang kini berdepan cabaran kewangan apabila bapanya tidak lagi mampu bekerja susulan masalah kesihatan, manakala ibunya merupakan suri rumah.

Lebih mencabar, keluarga tersebut tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan pada masa sama perlu menanggung kos rawatan serta keperluan harian keluarga.

Bapanya mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani prosedur pemasangan stent pada 2024. Pada tahun ini, keadaan kesihatannya semakin serius apabila doktor mengesan ketumbuhan pada paru-paru berhampiran jantung yang memerlukan pemeriksaan lanjut. Beliau juga baru menjalani pembedahan membuang batu karang pada buah pinggang serta menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Ibunya turut berdepan beberapa masalah kesihatan termasuk hati bengkak, injap jantung bocor, masalah tulang belakang, kencing manis dan tekanan darah tinggi serta pernah mengalami strok pada 2017.

Dalam pada itu, Fauzan sendiri turut melalui perjalanan kesihatan yang mencabar. Beliau pernah menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan berkaitan masalah ketumbuhan pada prostat serta beberapa masalah kesihatan lain yang memerlukan pemantauan berterusan.

Namun begitu, keadaan tersebut tidak menghalang Fauzan untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang kejuruteraan. Sebaliknya, beliau menunjukkan kecekalan yang tinggi untuk meneruskan pengajian demi membina masa depan yang lebih baik buat dirinya dan keluarga.

Empat Beradik Terus Mengejar Pendidikan

Walaupun berdepan keterbatasan kewangan, keluarga ini tetap meletakkan pendidikan sebagai keutamaan.

Abang sulung, Mohamad Fahmi bin Ismail, 26, sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di UniKL, manakala Fauzan bakal memulakan pengajian di UniMAP pada 26 September 2026.

Adiknya, Muhammad Firdaus bin Mohamad Bazri, 21, pula bakal melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UniMAP atau UniKL, sementara adik bongsu, Muhammad Shahir bin Mohamad Bazri, 17, masih bersekolah dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Keadaan empat beradik yang terus berusaha mendapatkan pendidikan tinggi ini menjadi cerminan bahawa kesusahan hidup bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi dorongan untuk mengubah masa depan keluarga.

UniMAP, KPT Prihatin Kebajikan Pelajar

Bagi membantu Fauzan membuat persediaan pendaftaran dan memulakan pengajian, beliau akan menerima Bantuan Awal Pengajian UniMAP sebanyak RM500 serta Bantuan Pendidikan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) sebanyak RM1,000.

Menurut UniMAP, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban Fauzan dalam membuat persediaan awal pengajian, di samping menjadi suntikan semangat untuk beliau terus tabah menghadapi cabaran.

Inisiatif Ziarah Kasih ini turut mencerminkan komitmen UniMAP bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan dan cabaran kehidupan.

Pendekatan “Masuk Dulu, Kebajikan Dibantu” menjadi antara usaha memastikan anak-anak daripada keluarga yang memerlukan tidak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi hanya disebabkan faktor kewangan.

Bagi Fauzan, surat tawaran yang diterima bukan sekadar membuka pintu ke menara gading, tetapi membawa bersamanya harapan besar untuk mengubah masa depan diri dan keluarganya.

Semoga bantuan dan sokongan yang diterima menjadi kekuatan buat Fauzan untuk terus melangkah dengan penuh keyakinan, mencapai kejayaan dalam pengajian serta suatu hari nanti mampu membalas pengorbanan keluarganya.

Masuk Dulu. Kebajikan Dibantu. Tiada Keciciran.