oleh Mohd Faiz Zabri dan Mohd Raizol Ramli
UPSI, 29 Ogos 2026 – Atlet kayakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syahida Asyiqin Rusli, mencuri tumpuan pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara TK1 200 meter Wanita dengan catatan masa 56.30 saat.
Beraksi dari lorong satu dalam Pusingan H1, Syahida mempamerkan kayuhan bertenaga dan konsisten untuk menguasai perlumbaan dari awal hingga akhir. Catatan 56.30 saat itu disahkan oleh pihak teknikal pertandingan sebagai Rekod Baharu Kejohanan (NR), sekali gus memadam rekod terdahulu.

Pencapaian beliau semakin menyerlah apabila menjadi satu-satunya atlet daripada keseluruhan saringan (H1 dan H2) yang berjaya menamatkan kayuhan di bawah tempoh satu minit.
Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, menzahirkan rasa bangga atas kejayaan cemerlang yang dicapai oleh atlet wira UPSI tersebut.
“Kejayaan Syahida mencipta rekod baharu bukan sahaja memuatkan kebanggaan buat warga UPSI, malah membuktikan bahawa atlet wira kami mampu bersaing dan mendominasi di peringkat tertinggi. Semangat kecekalan dan disiplin yang ditunjukkan oleh beliau wajar menjadi inspirasi kepada seluruh kontinjen UPSI untuk terus memburu pingat emas sepanjang SUKIPT 2026 ini,” kata beliau.
Kejayaan ini menyemarakkan lagi semangat kontinjen UPSI dalam saingan kayak, sekali gus meletakkan Syahida sebagai sandaran utama pingat emas dalam acara akhir.
Acara Kayak SUKIPT 2026 yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 1 September 2026 menyaksikan perhimpunan atlet-atlet terbaik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara.












