Advertisement

Felis Coustic Wakili UNIMAS dalam Busking Challenge (Akustik) MAKUM 2026

Felis Coustic ketika membuat persembahan dalam Pertandingan Busking Challenge (Akustik) MAKUM 2026 di Batu Pahat, Johor.

Oleh: Seksyen Kebudayaan dan Kesenian, Pusat Khidmat Pelajar

KOTA SAMARAHAN, 14 Jun – Kumpulan Felis Coustic yang dianggotai lima mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mewakili universiti dalam Pertandingan Busking Challenge (Akustik) MAKUM 2026 yang berlangsung di Dataran Astaka Shahbandar, Batu Pahat, Johor, dari 12 hingga 14 Jun 2026.

Penyertaan anjuran Seksyen Kebudayaan dan Kesenian, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ini memberi peluang kepada mahasiswa menimba pengalaman pertandingan serta mempersembahkan bakat muzik akustik di peringkat kebangsaan.

Persediaan Felis Coustic dimulakan dengan saringan uji bakat dan pemilihan ahli pada 6 Mei 2026. Kumpulan itu kemudiannya mengikuti latihan gubahan muzik dan penyesuaian lagu sebelum menjalani latihan intensif serta simulasi persembahan pada awal Jun.

Latihan berstruktur tersebut memberi tumpuan kepada susunan muzik, harmonisasi vokal, kawalan tempo, keseimbangan audio dan keyakinan di atas pentas. Persediaan teknikal turut melibatkan raptai penuh serta penyesuaian persembahan mengikut syarat pertandingan MAKUM.

Pengalaman bentuk disiplin dan kerjasama mahasiswa. Sepanjang pertandingan, ahli kumpulan mengurus pergerakan instrumen, ujian bunyi, raptai dan persembahan mengikut giliran yang ditetapkan. Pengalaman tersebut membantu mahasiswa meningkatkan disiplin, ketahanan diri, komunikasi dan kerjasama berpasukan.

Kumpulan Felis Coustic bersama pegawai pengiring selepas menyertai Pertandingan Busking Challenge (Akustik) MAKUM 2026.

Penyertaan Felis Coustic mencerminkan komitmen UNIMAS untuk memperkasa bakat mahasiswa dan menyediakan pendedahan bermakna melalui aktiviti kebudayaan serta kesenian di peringkat kebangsaan.