Advertisement

Majlis Pentauliahan Kor SISPA UNIMAS Siri 09 Berlangsung Gah di DeTAR Putra

Disediakan Oleh: Erika Freda anak Sotee

Kota Samarahan, 18 Julai— Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi saksi berlangsungnya Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UNIMAS Siri 09 Tahun 2026 pada 18 Julai lalu.

Majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan. Turut hadir ialah YBhg. TPj. Kehormat (PA) Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid bin Haji Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS merangkap Komandan Kor SISPA UNIMAS; YAS Pj. (PA) Ghazali bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); YS TPj. (PA) Mokhtar bin Samat, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Sarawak; Dr. Edris bin Aden, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS, barisan pegawai APM, wakil universiti serta jemputan khas. Majlis turut diserikan dengan kehadiran waris dan ahli keluarga Pegawai Muda Siri 09 yang hadir.

YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang mengatakan bahawa Kor SISPA sememangnya antara platform penting dalam melahirkan graduan yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan dan kemahiran pengurusan bencana. Menurut beliau, usaha memperkukuh budaya kesukarelawan perlu ditegaskan secara berterusan melalui penglibatan masyarakat di pelbagai peringkat, termasuk institusi pengajian tinggi, bagi meningkatkan kesiapsiagaan rakyat dalam menghadapi situasi kecemasan.


Kemuncak majlis menyaksikan seramai 50 orang Pegawai Muda Siri 09 menerima watikah pentauliahan selepas berjaya menamatkan latihan Kor SISPA UNIMAS. Penyampaian watikah tersebut menjadi simbol pengiktirafan rasmi terhadap komitmen, disiplin dan dedikasi mereka sepanjang mengikuti latihan.


Majlis turut diserikan dengan penyampaian beberapa anugerah sebagai penghargaan kepada pegawai muda yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang latihan. Antara anugerah yang disampaikan ialah Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya (SKKP) kepada Lt. M (PA) Ahmad Nur Irfan bin Amirruddin, Pegawai Kadet Terbaik (Lelaki) kepada Lt. M (PA) Shah Rizam Rasban bin Abdullah, Pegawai Kadet Terbaik (Wanita) kepada Lt. M (PA) Yvonne Yonnia anak Juing, Sijil Citra Kepimpinan kepada Lt. M (PA) Muhammad Azri Haqimi bin Azahari, serta Sijil Khidmat Bakti Perdana yang turut diterima oleh Lt. M (PA) Ahmad Nur Irfan bin Amirruddin.

Majlis Pentauliahan Kor SISPA UNIMAS Siri 09 telah berlangsung dengan lancar, sekali gus menjadi detik bersejarah buat para Pegawai Muda yang menerima watikah pentauliahan. Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan mereka, malah turut memperkukuh komitmen Kor SISPA UNIMAS dalam melahirkan pemimpin muda yang kompeten, berdaya tahan dan sentiasa bersedia berkhidmat demi kesejahteraan masyarakat.