Advertisement

Kunjungan Hormat Dan Lawatan Tapak Olympic Day Run 2026 Perkukuh Kerjasama UTeM Dan Majlis Olimpik Malaysia

oleh Noorazilah binti Mohamed

MELAKA, 14 Mei 2026 – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima kunjungan hormat dan lawatan tapak daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersemppena perancangan dan persiapan penganjuran Program Olympic Day Run 2026 yang dijadual berlangsung di universiti itu pada tahun hadapan.

Delegasi MOM yang hadir terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif MOM, Encik Fon Wan Hor; Eksekutif Temasya Pelbagai Sukan, Encik Izzat Danial Su Azlan Su; Eksekutif Media, Encik Fabian Mark Peter; serta Eksekutif Pereka Grafik, Encik Ahmad Reza Rosle.

Lawatan tersebut diketuai oleh Pengarah Pusat Sukan UTeM, Puan Siti Sarah Binti Bujang bersama pegawai-pegawai universiti bagi meninjau lokasi strategik sekitar kampus yang dicadangkan sebagai laluan dan lokasi utama program.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara UTeM dan MOM di samping membincangkan aspek teknikal, pengurusan acara serta penilaian kesesuaian lokasi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program berprestij itu.

Selepas sesi lawatan tapak, delegasi MOM turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM dan disambut mesra oleh Timbalan Naib Canselor HEPA UTeM.

Gambarajah 1: Kerjasama strategik UTeM bersama Majlis Olimpik Malaysia

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, penganjuran Olympic Day Run 2026 di UTeM merupakan satu pengiktirafan besar kepada universiti dalam memperkasakan agenda pembangunan sukan dan kesejahteraan komuniti.

“UTeM amat berbesar hati menerima kepercayaan Majlis Olimpik Malaysia untuk bekerjasama dalam penganjuran Olympic Day Run 2026. Program ini bukan sahaja menjadi platform mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif, malah mampu menyemarakkan semangat perpaduan dan nilai-nilai Olimpik dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penglibatan warga universiti secara menyeluruh akan memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah pelajar melalui aktiviti sukan dan kesukarelawanan.

“Kami yakin program ini mampu membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara institusi pengajian tinggi dan badan sukan nasional sekali gus mengangkat nama UTeM sebagai universiti yang aktif menyokong pembangunan sukan negara,” ujarnya lagi.

Sesi kunjungan tersebut turut menjadi platform penting bagi perbincangan lanjut berkaitan sokongan institusi, penglibatan pelajar serta penyelarasan penganjuran program di peringkat universiti dan nasional.

Diharapkan melalui kunjungan hormat dan lawatan tapak ini, Program Olympic Day Run 2026 dapat dilaksanakan dengan jayanya selaras dengan aspirasi memperkukuh budaya sukan, kesejahteraan komuniti dan semangat Olimpik dalam kalangan warga universiti serta masyarakat.