Advertisement

Roundtable MADANI Perkasa Aspirasi Anak Muda, Cetus Wawasan Komuniti Mampan

Oleh: Nur Lina Khalidah Razali

LENGGONG, 25 November 2026 – Seramai 46 peserta menyertai slot Roundtable MADANI: Wadah Perbincangan Kepimpinan yang berlangsung di Kolej Komuniti Gerik, Lenggong, Perak, sebagai wahana percambahan idea dan pengukuhan kepimpinan generasi muda dalam pembangunan komuniti.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Puan Fadzilah Vijaya binti Abdullah, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, dengan kehadiran barisan tetamu jemputan serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program. Kehadiran tersebut mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkasa generasi muda melalui dialog, perkongsian aspirasi dan penglibatan bermakna dalam pembangunan masyarakat.

SLOT ROUNDTABLE

Mengangkat tema “Warisan Dipelihara, Alam Dilestari & Generasi Terpelihara”, sesi meja bulat ini mengetengahkan lima kluster utama, iaitu Warisan dan Identiti, Kelestarian Alam Sekitar, Generasi dan Kepimpinan, Pelancongan Lestari serta Inovasi Digital.

Program ini turut mendapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong dan Lenggong Geopark sebagai manifestasi sinergi pelbagai pihak dalam memperkukuh pembangunan komuniti yang mampan serta berteraskan nilai MADANI.

Perasmi bersama para peserta

Bagi mengoptimumkan keberkesanan perbincangan, seramai 46 peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kluster yang ditetapkan. Pendekatan ini membuka ruang kepada pertukaran perspektif, penelitian isu setempat dan penghasilan gagasan yang relevan dengan keperluan masyarakat.

Barisan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) turut menggalas tanggungjawab sebagai fasilitator bagi membimbing peserta sepanjang sesi perbincangan. Peranan ini memperlihatkan keterlibatan mahasiswa sebagai pemudah cara dalam menyemarakkan budaya kepimpinan, kolaborasi dan pemikiran kritis.

Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) di Kolej Komuniti Gerik

Namun demikian, penglibatan anggota MMKZ dalam tugasan fasilitasi turut memberikan cabaran terhadap penyelarasan urus setia, khususnya dari aspek pengurusan masa, pergerakan peserta dan kelancaran perjalanan program. Keadaan ini menuntut penyesuaian pembahagian tugas serta koordinasi yang lebih sistematik bagi memastikan setiap pengisian berlangsung mengikut perancangan.

Sepanjang sesi berlangsung, setiap kumpulan diberikan ruang untuk mengenal pasti permasalahan, menganalisis potensi setempat dan merangka cadangan penyelesaian yang praktikal. Hasil perbincangan kemudiannya dipersembahkan menerusi sesi pitching selama lima minit bagi setiap kumpulan tanpa sesi soal jawab.

Peserta memulakan sesi perbincangan
Peserta memulakan sesi pitching

Format pembentangan yang ringkas dan berfokus ini menguji keupayaan peserta dalam menyampaikan gagasan, menghujahkan cadangan serta mengetengahkan potensi impak kepada komuniti secara berkesan.

Perbincangan turut menekankan kepentingan pemeliharaan warisan dan identiti tempatan sebagai khazanah yang perlu dipertahankan demi kesinambungan generasi. Dalam masa yang sama, kelestarian alam sekitar diketengahkan sebagai amanah bersama dalam menjamin keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan masyarakat.

Peserta mendalami perbincangan tentang kluster yang diterima

Aspek pembangunan kepimpinan, pelancongan lestari dan inovasi digital pula memperluas perspektif peserta terhadap potensi kemajuan komuniti. Kesepaduan kelima-lima kluster ini mencerminkan keperluan pendekatan pembangunan yang holistik, seimbang dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Secara keseluruhannya, Roundtable MADANI: Wadah Perbincangan Kepimpinan menjadi medan penghimpunan aspirasi, percambahan pemikiran dan pengukuhan kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda. Program ini turut memperlihatkan bahawa suara anak muda merupakan antara elemen penting dalam mencorakkan pembangunan komuniti yang progresif dan berdaya tahan.

Penyerahan cenderahati dari TIMB

Tuntasnya, pembangunan mampan tidak sekadar menuntut perancangan yang strategik, malah memerlukan kesepakatan, iltizam dan tindakan kolektif. Justeru, inisiatif seumpama ini diharapkan dapat terus menyuburkan budaya intelektual serta melahirkan generasi pemimpin muda yang berwawasan, berintegriti dan berupaya mencorakkan masa hadapan berteraskan aspirasi MADANI.

Total Views: 5