Oleh: Nayli Aqilah Qistina binti Mohd Iswandy
ISKANDAR PUTERI, 22 November 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (MPP UTHM) Sesi 2026/2027 telah menjalani Bengkel dan Pelan Strategik MPP UTHM Sesi 2026/2027 selama tiga hari bermula daripada 20 hingga 22 November 2026 bertempat di Kingston Hotel 16, Iskandar Puteri, Johor.
Penganjuran bengkel tersebut bertujuan membincangkan, merancang dan menyelaraskan sasaran kerja tahunan (SKT) serta pelan strategik organisasi bagi memastikan setiap perancangan dan gerak kerja MPP UTHM dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, tersusun dan berkesan sepanjang sesi kepimpinan 2026/2027.
Pada hari pertama, program dimulakan dengan sesi taklimat sebelum diteruskan dengan slot penceramah jemputan bertajuk Imej dan Personaliti: Persona Pemimpin Pelajar. Slot tersebut memberi penekanan terhadap pembentukan imej, personaliti dan penampilan diri yang bersesuaian dengan peranan mahasiswa sebagai pemimpin serta wakil suara pelajar.
Pengisian diteruskan dengan pembentangan Sasaran Kerja Tahunan Universiti Tahun 2027 oleh Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP). Sesi tersebut menjadi ruang pendedahan kepada barisan MPP UTHM mengenai sasaran dan hala tuju universiti sebelum diteruskan dengan sesi pemurnian serta persiapan akhir SKT MPP UTHM.

Pada hari kedua, bengkel memberi tumpuan kepada aspek pengurusan aktiviti pelajar dan pengurusan kewangan aktiviti pelajar. Kedua-dua pengisian tersebut bertujuan memperkukuh pemahaman barisan MPP UTHM terhadap aspek perancangan, penyelarasan dan pengurusan program, termasuk penggunaan sumber kewangan secara teratur dan bertanggungjawab.
Selain itu, peserta turut mengikuti slot penceramah jemputan bertajuk Write to Lead, Share to Inspire yang mengetengahkan kepentingan kemahiran penulisan dan komunikasi dalam kepimpinan. Pengisian ini turut memberi penekanan terhadap keupayaan menyampaikan idea, berkongsi maklumat serta membina komunikasi yang berkesan dalam sesebuah organisasi.
Sesi diteruskan dengan perbincangan bagi memperhalusi perancangan organisasi sebelum pembentangan SKT MPP UTHM yang melibatkan Pengarah PHEP dan Ketua Bahagian PHEP pada sebelah malam. Sesi tersebut memberi ruang kepada barisan MPP UTHM untuk membentangkan perancangan kerja serta mendapatkan pandangan dan penelitian terhadap sasaran yang telah ditetapkan.
Memasuki hari ketiga, bengkel diteruskan dengan pembentangan akhir SKT MPP UTHMdan Pelan Strategik kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Pengarah PHEP. Pembentangan tersebut merupakan antara pengisian utama bengkel bagi mempersembahkan perancangan dan hala tuju organisasi untuk sesi kepimpinan 2026/2027.

Sesi berkenaan turut menjadi platform penyelarasan antara perancangan MPP UTHM dengan hala tuju pengurusan universiti, khususnya dalam memastikan setiap sasaran yang dirangka mempunyai matlamat yang jelas serta mengambil kira keperluan dan kepentingan mahasiswa.
Penganjuran bengkel selama tiga hari ini bukan sahaja memberi penekanan terhadap penyediaan dokumen perancangan organisasi, malah turut menjadi ruang memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan kewangan dan kerjasama berpasukan dalam kalangan barisan perwakilan pelajar.
Dari sudut impak, bengkel ini diharapkan dapat melahirkan barisan kepimpinan MPP UTHM yang lebih kompeten, berwawasan dan berkeupayaan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih efektif. Perancangan strategik yang dibangunkan juga menjadi asas penting dalam memastikan setiap inisiatif dan program yang dilaksanakan mampu memberikan manfaat serta impak positif kepada mahasiswa.
MPP UTHM Sesi 2026/2027 berharap agar segala perancangan dan sasaran yang telah dibincangkan sepanjang bengkel ini dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berkesan, konsisten dan berimpak tinggi. MPP UTHM turut komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai penghubung antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti dalam memperjuangkan kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan mahasiswa selaras dengan aspirasi universiti.













