Oleh: Ahmad Nazrin Aris Anuar
SHAH ALAM, 26 November 2026 – Lebih 500 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) berhimpun mengimarahkan program Malam Inspirasi Ummah: Membina Jiwa, Memperkasa Sahsiah yang menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Haslin Baharim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood, di Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Perindu.

Program yang berlangsung bermula jam 7 malam itu merupakan inisiatif sepenuhnya Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Kediaman Perindu dalam usaha memperkukuh nilai kerohanian, membina kekuatan jiwa dan memperkasa sahsiah mahasiswa dalam mendepani cabaran kehidupan.
Suasana penuh penghayatan menyelubungi majlis yang dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan bacaan surah Yasin sebelum diteruskan dengan sesi ceramah agama bersama Ustaz Bollywood.
Turut hadir mengimarahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UiTM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Pengarah Kanan Pusat Pembangunan Pelajar, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Azian Zaidi, Prof. Madya Sr. Dr Ahmad Nazrin Aris Anuar, Pengetua kolej kediaman serta pegawai residen.

Menurut Mohd Sazili, pembangunan mahasiswa tidak seharusnya tertumpu kepada kecemerlangan akademik dan kemahiran kepimpinan semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh kekuatan spiritual, keluhuran akhlak dan ketinggian adab.
“Dalam mendepani pelbagai cabaran kehidupan hari ini, mahasiswa memerlukan bukan sahaja kekuatan intelektual, tetapi juga kekuatan jiwa dan pegangan agama yang kukuh. Keseimbangan inilah yang menjadi asas dalam pembentukan mahasiswa terbilang UiTM,” katanya.
Penganjuran program ini turut mendukung agenda Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU) yang memberikan penekanan terhadap pembangunan mahasiswa secara holistik, termasuk aspek kesejahteraan spiritual dan pembentukan karakter.
Kejayaan JPK Kolej Kediaman Perindu menghimpunkan lebih 500 mahasiswa dalam satu majlis kerohanian turut menyerlahkan keupayaan kepimpinan mahasiswa dalam menggerakkan inisiatif pembangunan insan secara proaktif.

Usaha ini sekali gus memperkukuh peranan kolej kediaman UiTM bukan sekadar sebagai tempat penginapan, tetapi sebagai medan pembentukan sahsiah, penyuburan nilai kerohanian dan pembangunan generasi mahasiswa berilmu, berakhlak serta berjiwa besar.












