Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi
SHAH ALAM, 21 November 2026 – Prihatin terhadap keselamatan dan kebajikan mahasiswa, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi turun padang meninjau lokasi kebakaran di Kolej Anggerik UiTM Shah Alam serta menyelaras keperluan 68 mahasiswa yang terjejas.
Beliau hadir sekitar jam 9.00 malam, diiringi Pengetua Kolej, Dr. Noradzhar Baba bersama Pegawai Residen bagi meninjau situasi, menyantuni mahasiswa terjejas serta memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera.

Kejadian kebakaran yang melibatkan 17 bilik kediaman pelajar wanita di Blok A2, Aras 2, Kolej Anggerik itu disedari sekitar jam 4.50 petang ketika keadaan cuaca hujan disertai ribut petir.
Tindakan pantas Pegawai Residen menghubungi talian kecemasan membolehkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera tiba di lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran.

Berdasarkan analisis awal, kejadian disyaki berpunca daripada sambaran kilat, namun punca sebenar masih dalam siasatan lanjut pihak bomba.
Dalam lawatan tersebut, Mohd Sazili turut menyelaras keperluan segera mahasiswa, khususnya aspek keselamatan, kebajikan dan penyediaan penempatan alternatif yang kondusif.
Kesemua 68 mahasiswa yang terjejas dipindahkan sementara ke Dewan Graha sebagai langkah segera bagi memastikan keselamatan mereka.
Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM turut mengatur penempatan tetap mahasiswa terbabit di Kolej Cemara yang menyediakan kemudahan bilik lebih luas dengan kapasiti empat penghuni bagi setiap unit apartmen.
Langkah tersebut bagi memastikan mahasiswa dapat meneruskan kehidupan kampus dan pengajian dalam persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Tindakan responsif kepimpinan JHEP bersama pengurusan kolej dan Pegawai Residen mencerminkan komitmen UiTM dalam memastikan kebajikan mahasiswa diberikan keutamaan, khususnya ketika berhadapan situasi kecemasan.
Pendekatan turun padang oleh TNC HEP turut memperlihatkan kesungguhan pengurusan universiti dalam memastikan pengurusan krisis dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi aspek keselamatan, kebajikan dan kelangsungan pengajian mahasiswa.
JHEP UiTM turut merakamkan penghargaan kepada pihak bomba serta semua pihak yang terlibat atas tindakan pantas dan kerjasama dalam menguruskan insiden tersebut.












