Advertisement

Alumni ANSARA UUM Dan Lembaga Tabung Haji Sumbang Wakaf RM87,000 Berupa Komputer Riba Kepada 21 Pelajar UUM – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh JKK UUM

SINTOK – Seramai 21 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memerlukan telah menerima sumbangan wakaf berjumlah RM87,000 daripada Alumni ANSARA Pioneer Kohot Matrik UUM 1985/1987 (APB87) dan Lembaga Tabung Haji di Bilik Senat, petang semalam.

Hasil pelaburan dana wakaf yang disumbangkan pada 8 Ogos 2023 itu kini dizahirkan melalui penyediaan dua unit komputer riba untuk membantu pelajar, khususnya dalam kalangan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), selaras dengan hasrat pewakaf.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha UUM memperkukuhkan kebajikan pelajar menerusi Majlis Menandatangani Surat Ikatan Amanah Wakaf Khas dan Penyerahan Bantuan Komputer Riba kepada Pelajar Baharu UUM Sesi A261 yang dihadiri Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Beliau berkata, pemeteraian Surat Ikatan Amanah Wakaf Khas antara universiti dengan APB87 merupakan langkah penting dalam memastikan pengurusan dana wakaf dilaksanakan secara teratur, telus dan penuh amanah, selaras dengan hasrat pewakaf.

Menurutnya, wakaf bukan sekadar sumbangan berbentuk kebajikan, sebaliknya merupakan instrumen yang mampu menjana manfaat berpanjangan untuk dinikmati oleh generasi pelajar hari ini dan akan datang.

“UUM sentiasa meletakkan kebajikan dan kesejahteraan pelajar sebagai keutamaan, khususnya dalam membantu mereka yang berdepan kekangan kewangan agar mereka berpeluang meneruskan pengajian dengan lebih baik.

“Kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk alumni, agensi zakat dan rakan strategik amat penting bagi memperkukuhkan ekosistem sokongan pendidikan serta memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada wakil penyumbang Alumni APB87, Mohd Nizuaisham Mohd Sanif serta seluruh alumni APB87 atas kepercayaan, pengorbanan dan komitmen dalam menyokong usaha universiti membantu pelajar.

Menurutnya, keprihatinan alumni ini terus menghulurkan bantuan kepada pelajar UUM, termasuk menggunakan wang persendirian, merupakan satu pengorbanan yang wajar dihargai dan dijadikan inspirasi kepada warga universiti.

Seramai 21 pelajar baharu UUM Sesi A261 menerima bantuan komputer riba menerusi dua sumber pembiayaan iaitu dana zakat Lembaga Tabung Haji melalui Program Iqra’ TH IPTA 2025 dan hasil pelaburan dana wakaf APB87.

Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali berkata, Lembaga Tabung Haji telah menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM600,000 kepada universiti bagi pelaksanaan program bantuan pendidikan yang merangkumi pelbagai keperluan pelajar dalam kategori asnaf.

Antara bantuan yang disediakan termasuk pembayaran yuran pengajian dan tunggakan, bayaran asrama, elaun sara hidup, peralatan pembelajaran seperti komputer riba, bantuan buku, makanan serta bantuan awal pengajian.

Daripada peruntukan berkenaan, sebanyak RM47,511 telah digunakan khusus untuk bantuan peralatan pembelajaran kepada 19 pelajar, melibatkan empat pelajar asasi dan 15 pelajar sarjana muda.

Selain itu, hampir RM74,800 daripada peruntukan RM75,000 bagi bantuan awal pengajian turut dimanfaatkan untuk membantu 200 pelajar, manakala baki peruntukan akan disalurkan dalam pusingan bantuan seterusnya.

Menurutnya, dua unit komputer riba selebihnya dibiayai melalui hasil pelaburan dana wakaf APB87 yang disumbangkan kepada Tabung Wakaf UUM pada 8 Ogos 2023.

Beliau turut menjelaskan bahawa proses penyediaan Surat Ikatan Amanah Wakaf Khas telah melalui beberapa siri perbincangan dan penambahbaikan bagi memastikan dokumen amanah berkenaan benar-benar mencerminkan tujuan serta hasrat pihak pewakaf.

Katanya, pemeteraian dokumen tersebut membolehkan pengurusan dan penyaluran manfaat wakaf dilaksanakan berdasarkan tujuan yang telah dipersetujui, sekali gus memastikan sumbangan berkenaan terus memberi manfaat kepada golongan sasaran.

Dalam pada itu, beliau berharap kemudahan komputer riba yang diterima dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik dan melahirkan graduan yang cemerlang.

Penerima, Amna Nur Yasmeen Mohd Rosdi yang merupakan pelajar dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) melahirkan rasa syukur atas pemberian komputer riba tersebut.

Beliau akan manfaatkan sebaiknya pemberian daripada dana wakaf APB87 sebaiknya demi kelangsungan pengajiannya di UUM.

Total Views: 1