Advertisement

Consumer Smart Challenge 2026 Perkasa Kesedaran Hak Pengguna Digital Dalam Kalangan Mahasiswa UUM – MySiswaNow

Berita dan gambar oleh: Noorshahkila binti Anporali

SINTOK – Seramai 80 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai program Consumer Smart Challenge 2026 anjuran Persatuan Komunikasi (PERKOM) dengan kerjasama Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) serta Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), UUM.

Program berkenaan merupakan inisiatif memperkukuh pengetahuan dan kesedaran mahasiswa mengenai hak serta tanggungjawab sebagai pengguna perkhidmatan komunikasi dan multimedia, khususnya dalam mendepani cabaran persekitaran digital yang semakin kompleks.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad yang turut menzahirkan penghargaan kepada CFM atas kesediaan menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak universiti dalam memperkasakan literasi kepenggunaan digital dalam kalangan mahasiswa.

“Penganjuran Consumer Smart Challenge 2026 bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna digital, malah turut mendukung aspirasi 12 Tujahan Universiti Utara Malaysia Tahun 2026 yang digariskan oleh Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed” kata Prof. Madya Dr. Mohd Khairie.

Beliau berkata, program ini khususnya menyokong Tujahan Kelima, iaitu Meningkatkan Kebolehpasaran Graduan dan Memperkasakan Mahasiswa, melalui pendedahan kepada isu kepenggunaan digital, pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah serta keupayaan membuat keputusan secara berinformasi.

“Dalam era transformasi digital dan perkembangan kecerdasan buatan (AI), mahasiswa bukan sahaja perlu mahir menggunakan teknologi, tetapi juga mempunyai kesedaran terhadap keselamatan digital, hak pengguna dan etika komunikasi. Pengetahuan ini penting bagi melahirkan graduan yang kompeten, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama strategik antara PERKOM, CFM dan SMMTC turut mencerminkan Tujahan Ke-enam iaitu memantapkan Jaringan Kolaborasi Universiti–Industri–Komuniti, dengan menghubungkan mahasiswa secara langsung dengan organisasi yang berperanan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan pengguna komunikasi serta multimedia.

Beliau berharap agar program seumpama ini terus diperkasakan sebagai platform pembelajaran berimpak tinggi yang mengintegrasikan pengetahuan akademik, pengalaman industri dan tanggungjawab sosial dalam usaha melahirkan mahasiswa yang celik digital serta mampu menjadi pengguna yang bijak dan beretika.

Turur hadir bersama Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad, Penasihat PERKOM dan program ini turut mendapat sokongan CFM menerusi kehadiran Timbalan Setiausaha CFM, Encik Zolkiflee Md Salleh; Eksekutif Jabatan Advokasi Pengguna dan Jangkauan, Cik Nurbatrisyia Adnan; serta Eksekutif Jabatan Pengurusan Aduan dan Pematuhan, Encik Muhammad Hafedz Mohd Nazim.

Penglibatan wakil CFM memberikan nilai tambah kepada program melalui perkongsian pengetahuan berkaitan perlindungan pengguna, pengurusan aduan serta kepentingan meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu komunikasi dan multimedia yang memberi kesan langsung kepada masyarakat.

Melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan berasaskan cabaran, Consumer Smart Challenge 2026 turut menjadi platform untuk menggalakkan mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan kepenggunaan dalam situasi sebenar, di samping mengasah kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan bekerja secara berpasukan.

Sementara itu, Pengarah Program, Noorshahkila binti Anporali berkata, penganjuran program ini mencerminkan komitmen PERKOM dalam menyediakan ruang pembelajaran di luar bilik kuliah yang menghubungkan mahasiswa dengan pihak industri dan badan berkepentingan.

Beliau turut berharap agar pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan oleh peserta serta dikongsikan dengan komuniti kampus bagi membentuk budaya kepenggunaan digital yang lebih berinformasi dan bertanggungjawab.

Penganjuran Consumer Smart Challenge 2026 juga membuktikan komitmen berterusan SMMTC dalam menyokong inisiatif pembangunan mahasiswa melalui kerjasama strategik dengan organisasi luar, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan, berdaya saing dan mempunyai tanggungjawab sosial. Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha memperluas kesedaran kepenggunaan digital dalam kalangan generasi muda, sekali gus melahirkan mahasiswa yang lebih bijak, peka dan beretika dalam ekosistem komunikasi dan multimedia.

Total Views: 1