Oleh: Mohamad Najib Mohamat Isah
TANJONG MALIM, 30 OKTOBER 2026 – Inisiatif memperkukuh hubungan bahasa dan budaya serumpun antara Malaysia dengan Indonesia terus diperkasakan menerusi penganjuran program Dari Kata ke Budaya 1.0 (DAKU): Jalin Kata “Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia Merentas Sempadan”.
Program wacana intelektual bertaraf antarabangsa ini dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi sesi 2026/2027 dengan kerjasama Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia. Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 2,451 peserta dari kedua-dua buah negara.

Berlangsung secara dalam talian menerusi platform Google Meet dan siaran langsung Facebook Live pada Jumaat, program ini bermula jam 8:00 malam hingga 11:00 malam. Penyertaan merangkumi mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) serantau, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universitas Kristen Immanuel (UKRIM) dan Universitas Sumatera Utara (USU).
DAKU 1.0 bukan sekadar medan perbincangan tentang persamaan dan perbezaan linguistik, malah wadah mengangkat peranan bahasa sebagai wahana ilmu, identiti masyarakat, serta perantara silang budaya. Penglibatan rentas institusi ini mencerminkan keterbukaan wacana dalam menyediakan ruang perkongsian inklusif melangkaui sempadan geografi.

Program ini menampilkan dua tokoh akademik berpengalaman sebagai panel jemputan:
- Dra. Mardiah Mawar Kembaren, M.A., Ph.D. (Pensyarah Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Sumatera Utara, Indonesia).
- Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad (Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI).
Sesi pertama yang dikendalikan oleh Dra. Mardiah membincangkan tajuk “Bahasa, Budaya dan Komunikasi dalam Membina Kefahaman Rentas Negara”. Perkongsian tersebut menekankan pertalian antara bahasa dengan pembentukan identiti budaya, selain peri pentingnya memahami kepelbagaian dialek dan laras bahasa demi menjamin komunikasi berkesan.

Sementara itu, sesi kedua bersama Prof. Madya Dr. Ariff mengupas tajuk “Bahasa Melayu dalam Pendidikan dan Komunikasi Rentas Budaya”. Sesi ini menyorot kedudukan bahasa Melayu dalam ekosistem pendidikan tinggi, peluasan kerjasama akademik, serta potensinya sebagai pemangkin hubungan masyarakat serantau.
Dari sudut kelestarian global, penganjuran DAKU 1.0 turut mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh), serta SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).
Pengarah Program, Mohamad Najib bin Mohamat Isah, meluahkan rasa bangga atas sambutan luar biasa tersebut dan menyifatkan inisiatif ini sebagai manifestasi keupayaan mahasiswa menerajui diplomasi intelek serantau.

“DAKU 1.0 bukan sekadar sebuah program webinar biasa, sebaliknya bukti jelas bahawa mahasiswa mampu menjadi jambatan penghubung yang merapatkan jurang geografi menerusi wadah keilmuan.
“Melihat ribuan anak muda dari Malaysia dan Indonesia berkumpul dalam satu ruang wacana membuktikan akar bahasa kita masih utuh menyatukan kita. Kami bertekad untuk membawa inisiatif ini ke fasa seterusnya dengan membabitkan lebih banyak institusi pengajian tinggi serantau,” katanya.
Berteraskan gagasan “Bahasa Mendekatkan, Budaya Menyatukan”, DAKU 1.0 membuktikan bahasa bukan sekadar alat pertuturan, sebaliknya jambatan peradaban yang memaut pemikiran dan memperkukuh persaudaraan Nusantara.












