Oleh:
Dr. Hajar Opir
Koordinator Kenegaraan
Institut Kepimpinan Pelajar (IKP)
KUNDASANG, 2 November 2026 – Seramai 112 mahasiswa UiTM Zon Sabah telah menyertai Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI: Institut Kepimpinan Pelajar UiTM Sabah yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026, bertempat di Pusat Latihan Kenegaraan (PLK) Kundasang, Sabah.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, dengan penglibatan Bahagian Belia, AKM sebagai penganjur bersama dalam pelaksanaan latihan kenegaraan.
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuh jati diri, menyemarakkan semangat patriotisme, meningkatkan kesedaran kenegaraan serta membentuk mahasiswa yang berintegriti, berdaya kepimpinan dan menghayati nilai Malaysia MADANI.
Majlis perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Firdaus Mohamad, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) UiTM, yang turut menyampaikan pembentangan slot DNA UiTM. Pengisian tersebut memberi penekanan kepada penghayatan identiti, nilai dan aspirasi UiTM sebagai asas pembentukan mahasiswa yang berintegriti, berdaya saing serta mempunyai semangat kepimpinan yang tinggi.

Majlis pembukaan turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Ts. Dr. Ajimi Jawan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasakan kepimpinan dan pembentukan sahsiah mahasiswa.
Sepanjang kursus, para peserta mengikuti pelbagai modul pembangunan sahsiah dan kenegaraan, antaranya UiTM di Hatiku, Identiti, Eksplorasi Jiwa MADANI, Inspirasi Uni, Master-Chef dan Denai MADANI. Pengisian kursus dilaksanakan melalui pendekatan pembelajaran interaktif, aktiviti berkumpulan dan pengalaman secara langsung yang menekankan pembentukan identiti mahasiswa, kerjasama berpasukan, disiplin, daya tahan serta penghayatan nilai kenegaraan.

Bahagian Belia, Akademi Kenegaraan Malaysia memainkan peranan penting dalam mengendalikan latihan kenegaraan yang berfokus kepada pembentukan jati diri, pemupukan semangat patriotisme serta penyebarluasan aspirasi Malaysia MADANI. Melalui pendekatan latihan berstruktur dan aktiviti berasaskan pengalaman, para peserta didedahkan kepada kepentingan perpaduan, tanggungjawab kewarganegaraan, integriti dan semangat cintakan negara.
Keseluruhan pelaksanaan kursus telah diadakan dengan kerjasama pegawai Bahagian Belia, AKM iaitu Cik Eka Farlina binti Saparudin, Penolong Pengarah merangkap Ketua Seksyen SIP serta En. Muhamad Saiful Azri bin Marbawi, Penolong Pengarah.
Turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini ialah pegawai-pegawai daripada AKM Negeri Sabah dan SPM Negeri Sabah, barisan urus setia serta para fasilitator daripada Akademi Kenegaraan Malaysia dan UiTM Cawangan Sabah yang bersama-sama memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti dan modul sepanjang kursus berlangsung.

Kerjasama erat antara pihak penganjur, pegawai pelaksana dan barisan fasilitator mencerminkan komitmen bersama dalam menyediakan pengalaman pembelajaran kenegaraan yang bermakna kepada mahasiswa, khususnya dalam memperkukuh semangat kebersamaan, perpaduan, integriti dan kecintaan terhadap institusi serta negara.
Penganjuran kursus ini turut mendukung aspirasi UiTM dalam melahirkan Mahasiswa Terbilang yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai jati diri yang kukuh, berfikiran strategik, berakhlak mulia serta bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.
“Memperkukuh Jati Diri, Menyemarakkan Patriotisme, Melahirkan Pemimpin Muda Malaysia MADANI.”












