Advertisement

KUO–KOLEJ Mawar UiTM Perkukuh Jaringan Kepimpinan Mahasiswa

Oleh: Dayangku Siti Aisyah

TANJONG MALIM, 18 Oktober 2026 – Program Youth Catalyst Leadersphere 2.0: Seeds of Knowledge yang berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi platform memperkukuh jaringan kepimpinan mahasiswa serta hubungan kerjasama antara Kolej Ungku Omar (KUO), UPSI dengan Kolej Mawar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program yang melibatkan seramai 36 orang mahasiswi Kolej Mawar ini memberi penekanan terhadap perkongsian amalan terbaik pengurusan kolej kediaman, pembangunan kepimpinan pelajar dan pengukuhan kemahiran insaniah melalui pendekatan kolaboratif.

Latihan dalam Kumpulan 2 yang dikendalikan oleh Kolej Mawar

Antara pengisian utama ialah sesi penanda aras bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej Mahasiswa (JPKM) Kolej Mawar dan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) UPSI. Perkongsian ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pengalaman berkaitan pengurusan organisasi mahasiswa, pelaksanaan program serta pendekatan membina komuniti kolej kediaman yang aktif dan berdaya saing.

Pengalaman tersebut diperkaya melalui aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh kedua-dua organisasi mahasiswa. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan dan penyelesaian masalah, di samping memahami kepentingan kepimpinan yang berteraskan kesepakatan serta tanggungjawab bersama.

Ucapan  Balqis NurAinshafiqah Mohd Rizal Pengarah Program daripada Kolej Mawar

Selain aspek kepimpinan, peserta turut didedahkan kepada persekitaran akademik dan kemudahan kampus UPSI melalui lawatan ke beberapa lokasi utama, termasuk Marina UPSI, Arena UPSI, Perpustakaan Tunku Bainun (PTB) dan Lakar Budiman. Pendedahan ini memperluas perspektif peserta terhadap peranan kemudahan universiti dalam menyokong budaya ilmu, kreativiti dan pembangunan mahasiswa secara holistik.

Saudari Balqis NurAinshafiqah Rizal, wakil Kolej Mawar, merasa sangat teruja dengan sambutan serta kerjasama yang diberikan sepanjang program. Beliau berharap agar pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh semua peserta dan menjadi asas kepada hubungan strategik yang berterusan antara kedua-dua institusi.

Ucapan Perasmian daripada Dr. Shamsimah Shamsudin, Pengetua Kolej Mawar

Sementara itu, Encik Alamin Ismail, Felo Blok 1 Kolej Ungku Omar, menyambut baik pelaksanaan program yang membuka ruang kepada mahasiswa untuk berkongsi pengalaman dan memperkukuh hubungan antara institusi. Beliau melihat inisiatif seumpama ini sebagai peluang untuk memperluas jaringan mahasiswa melalui perkongsian ilmu dan pelaksanaan aktiviti bersama.

Pengetua Kolej Mawar, UiTM Shah Alam, Dr. Shamsimah Shamsudin, turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha membina hubungan kerjasama antara kedua-dua kolej. Beliau mengalu-alukan kunjungan pihak KUO UPSI ke Kolej Mawar bagi menjayakan program bersama pada masa hadapan, sekali gus merasmikan majlis penutupan program tersebut.

Peserta bergambar kenangan

Secara keseluruhannya, Youth Catalyst Leadersphere 2.0: Seeds of Knowledge mencerminkan kepentingan jaringan antara institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan mahasiswa yang berkeyakinan, berdaya kepimpinan dan terbuka kepada perkongsian ilmu. Kerjasama seumpama ini diharap dapat diteruskan melalui lebih banyak inisiatif bersama yang memberi manfaat kepada pembangunan mahasiswa.

Total Views: 3